Sempena sambutan Hari Guru hari ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memberi perkenan kepada seramai 625 warga pendidik dan guru untuk menyampaikan khutbah Jumaat di seluruh negeri.
Warga pendidik sampaikan khutbah

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, khutbah bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta sumbangan golongan pendidik kepada masyarakat dan negara.
“Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengemukakan nama warga pendidik dan guru dan mendapat perkenan menaiki mimbar membaca khutbah di 625 masjid dan surau di seluruh negeri pada Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara tokoh pendidikan yang diberikan penghormatan tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad yang akan mengetuai warga pendidik menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri).
Beliau berkata, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia, Omar Salleh pula dijadual menjadi khatib di Masjid Sultan Azlan Shah, manakala guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Merchu, Samad Hassan akan menyampaikan khutbah di Masjid Ubudiah.

Artikel lain: Sultan Perak perkenan belia diberi penghormatan baca khutbah di Perak esok
Tambahnya lagi, program pengimarahan masjid turut berlangsung di Masjid Negeri dengan penglibatan kira-kira 2,000 pelajar serta warga pendidik menerusi pelbagai pengisian termasuk motivasi kerohanian, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
“Program motivasi kerohanian murid akan bermula pada 10.20 pagi, disusuli dengan acara bacaan surah Yasin, tahlil serta doa selamat.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak juga berkenan berangkat untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama pelajar dan warga pendidikan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) hari ini,” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak




