Penyertaan Rakan Tani Muda ditambah mulai tahun depan

Penyertaan Rakan Tani Muda ditambah mulai tahun depan

BANGI: Agrobank sedia menambah bilangan penyertaan sekolah dalam program Rakan Tani Muda dengan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan.

Malah menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Badli Shah Raja Husin, pihaknya bersetuju supaya satu kategori baharu dikenali Agro Lestari diwujudkan.

“Tahun ini hanya 80 sekolah rendah menyertai program, namun jumlah penyertaan akan dibuka kepada 100 buah tahun depan,” tambahnya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Rakan Tani Muda 2023 kepada 33 buah sekolah dari seluruh negara dan pemenang empat kategori di sini, hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Sharuddin Ali Hussin mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Program julung kali tersebut dilancarkan pada Mac lalu berteraskan konsep pendidikan pertanian untuk menggalakkan murid memanfaatkan tanah kosong di sekolah mereka. Setiap sekolah terpilih akan menerima geran sebanyak RM3,000 daripada Agrobank dan mereka dinilai oleh pihak Jabatan Pertanian Malaysia serta Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Tengku Badli Shah berkata, penyertaan  untuk program itu wajar ditambah ekoran pihaknya menerima permintaan daripada banyak sekolah yang berminat.

“Kita juga dapat persetujuan Kementerian Pendidikan bagi tambah kategori selain empat yang sedia ada dikekal iaitu konvensional, fertigasi, hidroponik dan akuaponik,” katanya.

Beliau berharap, usaha Agrobank bukan sekadar untuk pertandingan, bahkan memupuk minat murid sejak peringkat sekolah rendah kepada peluang dan potensi sektor pertanian.

Walaupun baru kali pertama diperkenalkan, maklum balas diterima ujarnya, begitu baik malah komuniti setempat terlibat dalam membantu pihak sekolah menerusi program itu.

Pada masa sama jelasnya, ada juga sekolah meraih hasil jualan lumayan daripada tuaian tanaman diusahakan dan pulangan itu dapat digunakan bagi membantu murid miskin.

Agrobank katanya, akan terus memberi sokongan dan berharap pendedahan program ini akan menarik murid memilih kerjaya dalam sektor pertanian selepas tamat persekolahan. – UTUSAN

Scroll to Top