Penyimpan setem cipta nama di luar negara

Penyimpan setem cipta nama di luar negara

mahaizura@mediaprima.com.my

TAHUN 2025 dianggap sebagai detik paling gemilang dalam sejarah Persatuan Filateli Malaysia (PSM) apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia melalui pencapaian luar biasa di tiga pameran utama bertaraf antarabangsa di Uruguay, Thailand dan Korea Selatan.

Kejayaan terbesar direkodkan dalam Pameran Setem Dunia Uruguay 2025 di Punta Del Este pada Februari lalu apabila pengumpul setem tanah air, William Wang dari Sabah, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama meraih ‘Large Gold Medal’ (Pingat Emas Besar) di bawah naungan ‘FÈdÈration Internationale de PhilatÈlie’ (FIP), sekali gus pengiktirafan tertinggi dunia filateli.

William yang turut menerima Hadiah Khas bagi kategori kualiti bahan pameran yang menyingkap sejarah pos Labuan dan Borneo Utara sejak pertengahan 1840-an, termasuk surat bersejarah, postmark, laluan pos dan kadar bayaran yang digunakan ketika zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British.

William sekali lagi mengharumkan Malaysia apabila merangkul Pingat Emas Besar pada Pameran Setem Antarabangsa Thailand 2025 yang berlangsung di Bangkok, Ogos lalu.

Kemenangan itu dilakarkan dalam kategori Persuratan Bersejarah menerusi pamerannya bertajuk ‘The Postal History of Labuan & North Borneo Before & Under Chartered Company Rule’.

Pameran yang memaparkan koleksi pos jarang ditemui itu mengangkat sejarah komunikasi di era kolonial British dan Jepun, sekali gus menzahirkan ketelitian penyelidikan dan nilai sejarah yang tinggi.

Turut mencuri perhatian dunia filateli ialah Maryam Mohd Syazwan, 12, murid Sekolah Kebangsaan Pelindung, Kuantan, Pahang yang mencipta sejarah sebagai peserta termuda Malaysia yang memenangi Pingat Perak Gangsa pada pameran di Bangkok.

Pameran bertajuk ‘Maryam’s Classroom Adventure: Learning About the Amazing Malaysia’s Flora and Fauna’ itu memikat hati juri melalui kreativiti penceritaan berasaskan pembelajaran di kelas, hasil bimbingan guru menerusi Kelab Setem dan Filateli (KESEF) dengan sokongan Pos Malaysia Berhad.

Pesuruhjaya Kebangsaan merangkap Presiden PSM Muhamed Salim Mohd Ali berkata, tahun ini menyaksikan Malaysia aktif di pameran utama serta program bertaraf dunia seperti ‘Uruguay 2025 World Stamp Exhibition’, ‘Federation of Inter Asian Philately (FIAP) Exco Meeting & Putrajaya Stamp Fair’, Pameran Setem Antarabangsa Asia Thailand 2025, ‘Philakorea 2025’ di Seoul, Korea Selatan dan Pameran 5 Negara di Bandung, Indonesia, November ini.

“Kita amat berbangga melihat minat mendalam generasi muda seperti Maryam.

“Gabungan pengalaman veteran dan semangat anak muda menjadi kekuatan Malaysia sekali gus membuktikan kesinambungan generasi dalam dunia filateli masih kukuh.

“Pencapaian ini menunjukkan, kita bukan sahaja diiktiraf sebagai negara aktif, malah dihormati kerana kualiti pameran dan komitmen terhadap nilai sejarah sekali gus selari dengan misi kita memperkenalkan warisan dan seni pos negara di pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata, delegasi Malaysia di Pameran Setem Antarabangsa Asia Thailand 2025 turut membawa pulang tujuh pingat daripada lapan pameran yang dipersembahkan, sekali gus prestasi luar biasa yang meletakkan Malaysia antara pasukan paling menonjol tahun ini.

Katanya, turut menyumbang kejayaan ialah pempamer berpengalaman seperti Adam Malek, Kuo Chee Yoong, Tan Chee Hui, Chandrajit Ghose dan Sheikh Shafiqul Islam, masing-masing membawa pulang pingat Vermeil dan Vermeil Besar.

“Mereka mempersembahkan hasil penyelidikan mendalam mengenai sejarah pos Malaya, Johor serta tempoh reorganisasi pascaperang 1940-an.

“Pameran ini menyerlahkan nilai sejarah luar biasa melalui penggunaan bahan pos yang amat sukar diperoleh termasuk cop pejabat pos lama seperti di Rengit, Endau dan Jementah di Johor, surat zaman penjajahan Jepun serta sampul surat unik bertulis nama ‘Syiburi’, iaitu nama Kedah ketika berada di bawah pentadbiran Thailand,” katanya.

Katanya, kecemerlangan di Bangkok disusuli dengan pencapaian di Philakorea 2025 September lalu apabila Liau Kan Xin dari SMJK Yu Hua, Kajang dan Harith Bhaskaran dari Sri KL International School, masing-masing berusia 17 dan 15 tahun, meraih Pingat Perak Besar dan Perak.

“Kejayaan demi kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama negara, tetapi turut memperkukuh peranan PSM sebagai duta budaya, sejarah dan warisan Malaysia di persada dunia.

“Ini kerana setem bukan sekadar sekeping kertas kecil, malah ia rakaman sejarah, seni dan identiti negara kerana melalui filateli, kita menghubungkan generasi, merentasi sempadan dan memelihara warisan bangsa,” katanya.

Beliau turut mengumumkan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Pameran Setem 5 Negara 2026 di Perlis dengan sokongan kerajaan negeri yang menandakan satu lagi usaha memperkukuh jalinan serantau antara Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

“Acara itu dijangka menjadi pentas utama bagi pelapis muda melalui Fila Remaja 2027 di Muzium Setem Selangor, sebagai kesinambungan program pendidikan filateli di sekolah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top