JAKARTA: Pengeboman bunuh diri di gereja Indonesia semalam dilakukan oleh dua anggota kumpulan pelampau Daesh yang dipersalahkan atas letupan gereja lain, termasuk serangan maut di Filipina pada 2019, kata polis.
Kira-kira 20 penganut Kristian cedera akibat letupan kuat di luar gereja di bandar Makassar di pulau Sulawesi ketika mereka menyambut permulaan Minggu Suci.
Kedua-dua suspek dalam serangan itu terbunuh ketika mereka menunggang sebuah motosikal ke perkarangan gereja, melakukan apa yang dikatakan pihak berkuasa sebagai alat peledak buatan yang dikenali sebagai bom periuk tekanan.
Seorang pengawal keselamatan gereja cuba menghalang kedua-dua pelaku masuk ketika letupan berlaku, tambah mereka.
Lewat semalam, Ketua Polis Nasional, Listyo Sigit Prabowo, menyatakan bahawa kedua-dua penyerang – seorang lelaki dan seorang wanita – adalah anggota Jamaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah kumpulan ekstremis yang juga dipersalahkan atas pengeboman gereja yang menyebabkan kematian di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya pada 2018.
Prabowo tidak memberikan nama atau menyatakan bagaimana mereka dikenal pasti, tetapi pemeriksa forensik melakukan ujian DNA pada bahagian tubuh yang bertaburan di lokasi kejadian.
“Terdapat dua pelaku yang terbunuh, seorang lelaki dan seorang wanita,” kata Prabowo.
“Mereka anggota kumpulan JAD yang melakukan serangan bom di Jolo di Filipina.”
Tidak jelas sama ada pasangan itu adalah pasangan suami isteri.
Seorang militan Indonesia dan isterinya – anggota JAD – dipersalahkan atas dua letupan yang meletupkan sebuah gereja Katolik di pulau Jolo yang majoriti Muslim di Filipina pada 2019, membunuh penganut Kristian dan pasukan keselamatan.
Dua militan lain yang dikaitkan dengan serangan itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan Indonesia awal tahun ini.
Seorang saksi pengeboman semalam menggambarkan mendengar dua letupan ‘sangat kuat’ dan kemudian melihat kepulan asap, serangan yang mencederakan kira-kira 20 pegawai gereja, penganut Kristian dan anggota keselamatan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, bertkata beliau ‘mengutuk keras tindakan keganasan itu’.
“Keganasan adalah kejahatan terhadap umat manusia,” katanya.
“Saya menyeru semua orang supaya memerangi keganasan dan radikalisme, yang bertentangan dengan nilai-nilai agama.”
Amnesty International menyatakan, pengeboman itu menunjukkan ‘penghinaan sepenuhnya’ terhadap hak asasi manusia.
Letupan di gereja Katolik utama di Makassar – sebuah bandar pelabuhan dengan kira-kira 1.5 juta penduduk – berlaku sejurus selepas penganut Kristian selesai merayakan hari minggu Palm, hari pertama Minggu Suci bagi agama itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




