Perak FC tamatkan khidmat Teong Kim

Perak FC tamatkan khidmat Teong Kim

KUALA LUMPUR – Kerjasama Perak FC dengan Datuk Lim Teong Kim akhirnya terlerai apabila khidmat bekas jurulatih Bayern Munich itu tidak diperlukan oleh pasukan itu.

Menerusi kenyataan, Perak FC mengumumkan, perpisahan dengan Teong Kim, namun tidak dinyatakan alasan khidmat jurulatih itu ditamatkan.

Keputusan itu dipercayai berpunca ekoran prestasi hambar skuad Seladang dalam saingan Liga Super apabila hanya melakar dua kemenangan daripada 12 perlawanan, sekali gus menduduki tangga ke-11 liga.

Terbaharu, Perak di bawah pengendali berusia 56 tahun itu tewas kepada Sabah FC 1-3 di Stadium Likas, kelmarin.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” katanya.

Perak FC menjadi pasukan terbaharu dalam kancah Liga Malaysia mengumumkan perpisahan dengan jurulatihnya.

Sehubungan itu, Perak FC mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara. – MalaysiaGazette