Kesucian kalimah Allah Yang Maha Agung

Kesucian kalimah Allah Yang Maha Agung

Sultan Sharafuddin Idris Shah

BARU-baru ini umat Islam digemparkan dengan isu penggunaan kalimah Allah yang mana isu ini sebenarnya telah lama berlaku dan telah ada ketetapan-ketetapan dibuat dan diputuskan mengenainya.

Advertisement

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, sebagai ketua agama Islam bagi Negeri Selangor telah melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Negeri Selangor.

Baginda menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam Kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Negeri Selangor.

Titah baginda berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan pada 18 Februari 2010.

Dalam masa yang sama, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Tahun 1988 telah dikuatkuasakan di Negeri Selangor yang telah menetapkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah suatu kesalahan untuk digunakan oleh penganut agama bukan Islam.

Ini turut diperkuat dengan kedudukan undang-undang berkaitan halangan dan larangan penggunaan kalimah Allah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Tahun 2014 dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur. Dalam kes ini mahkamah memutuskan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan agama Kristian.

Kalimah Allah bukan terjemahan Bahasa Malaysia kepada perkataan ‘God’. Sebaliknya perkataan yang mewakilinya adalah tuhan atau dewa. Sekiranya dirujuk kamus-kamus nescaya akan didapati perkataan ‘Allah’ merujuk kepada nama Tuhan dalam kalangan orang Islam, satu-satunya Tuhan dalam agama Islam atau nama Tuhan yang berasal daripada istilah Arab yang digunakan seluruh penganut agama Islam tanpa mengira bahasa.

Wujud alasan bahawa kalimah Allah dituntut kerana ianya digunapakai dalam Bible edisi Bahasa Arab dan Bahasa Indonesia. Hakikatnya, ianya adalah kesalahan sejak awal penterjemahan. Buktinya, Bible edisi Bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah sama sekali sebaliknya menggunakan perkataan ‘God’ merujuk Tuhan Bapa dan ‘Lord’ merujuk Tuhan Anak.

Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan ‘God’ dengan kalimah Allah? Sehubungan dengan itu, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain agama Islam adalah suatu perkara yang menyanggah konsep keesaan Allah SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.

Kalimah Allah ialah nama khas yang merujuk kepada tuhan dalam agama Islam. Apabila disebut nama khas maka ianya adalah khusus, istimewa, ditentukan atau diperuntukkan hanya kepada penamanya. Tidak sebagaimana kata nama am yang boleh digunapakai kepada kelompok umum seperti tuhan, manusia atau haiwan. Allah SWT adalah nama Tuhan kepercayaan umat Islam. Justeru, apakah agama yang menuntut penggunaan kalimah Allah ini tidak mempunyai nama tuhannya?

Penama yang dinamakan dengan nama khas mempunyai identiti, ciri-ciri atau sifat-sifat yang memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain. Sebagai contoh, rumah ibadat adalah kata nama am yang dikongsi sama, sebaliknya istilah masjid, gereja dan gurdwara adalah perkataan beridentiti yang membezakannya dengan yang lain. Justeru, adakah rasional nama Allah boleh dirujuk kepada dua tuhan dengan identiti serta konsepnya yang berlainan?

Konsep ketuhanan adalah intipati atau pokok (essence) yang membezakan satu agama dengan agama yang lain. Identiti Allah SWT, tuhan yang dipercayai umat Islam konsepnya terkandung secara tuntas di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4. Firman Allah SWT (maksudnya): “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha  Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya’.”

Allah SWT ialah Tuhan yang esa, satu atau tunggal. Menurut Ahli Sunnah Wal-jamaah, esa-Nya Allah SWT pada zat, sifat dan perbuatan-Nya.

Esa Allah SWT pada zat memberi maksud tiada pecahan-Nya atau tiada tara-Nya. Esa zat  Allah SWT adalah mutlak bukan bermaksud satu dengan dua unsur atau satu dengan tiga unsur. Esa Allah SWT pada sifat memberi maksud tiada seumpama-Nya atau tiada banding-Nya. Allah SWT itu bukan Tuhan dengan sifat-sifat manusia dan tiada manusia sama sekali  yang memiliki sifat-sifat-Nya. Esa Allah SWT pada perbuatan memberi maksud tiada sekutu-Nya atau tiada tanding-Nya.

Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 73 (maksudnya): “Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Ayat ini menunjukkan seseorang itu menjadi kafir apabila menyatakan tuhan-tuhan selain Allah sebagai Allah. Ini bermakna kalimah Allah itu tidak boleh digunakan kepada tuhan selain Allah yang Maha Esa yang membawa kepada kekufuran.

Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri. Ini suatu jaminan undang-undang dan menjadi prinsip utama dasar pemerintah dan pihak berkuasa agama dalam menjaga akidah dan tuntutan syariat Islam.

Dengan dasar-dasar yang menjaga kepentingan agama Islam ini, umat Islam hendaklah mengambil peluang meningkatkan amalan masing-masing dan mempamerkan akhlak Islam serta mencerminkan keindahan Islam dalam bermasyarakat, berorganisasi dan bernegara.

Masyarakat bukan Islam perlulah menghormati agama Islam dan umat Islam sebagaimana umat Islam menghormati kepercayaan agama orang bukan Islam. Elakkan sama sekali apa-apa juga perkara, isu atau persoalan yang menyentuh sensitiviti dan keyakinan antara berbilang agama di negara ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan dalam titahnya bahawa Tuanku sentiasa menekankan agar rakyat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama lain yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri

Selangor ini. Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Tuanku juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa kalimah Allah adalah lafaz mulia yang perlu     dipelihara kesuciannya daripada dipermainkan, dipersendakan atau diletakkan di tempat yang salah; dan

2. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Allah SWT itu Tuhan Yang Esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya (af’al) dengan penjelasan tiada tara, tiada banding dan tiada tanding bagi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.” (Al-An’am: 102) – HARAKAHDAILY 26/5/2023

Petikan khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor yang dibaca pada 26 Mei 2023 l 6 Zulqa’dah 1444.