Selepas perkahwinan lalu hanya bertahan dua minggu, Danny akhirnya temui jodoh baharu

Selepas perkahwinan lalu hanya bertahan dua minggu, Danny akhirnya temui jodoh baharu

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Langat: “Saya anggap perkahwinan ini sebagai ‘hadiah’ pemberian Allah SWT buat saya selepas pulang dari Tanah Suci.

“Sedih, gembira, syukur, semuanya ada dan perasaan itu bercampur baur hari ini.”

Demikian kata usahawan kecantikan, Adam Hamil, 43, atau dikenali Danny yang mengakhiri zaman duda dengan wanita pilihan, Nur Atikah Hamidon, 26, atau mesra disapa Atikah pada hari ini.

Danny dan Atikah yang sebelum ini berstatus ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berumur lima tahun sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah di sebuah dewan dekat Telok Panglima Garang, di sini, jam 9.15 pagi tadi.

Perkahwinan itu adalah yang kedua buat pasangan berkenaan dan membuka lembaran baharu buat Danny selepas rumah tangga dibina pada 2023 hanya bertahan selama dua minggu.

Berkongsi kisahnya, Danny berkata, dia berkenalan dengan Atikah kira-kira tiga bulan lalu menerusi ruang cari jodoh di TikTok.

Ketika pertemuan pertamanya dengan Atikah dengan keluarga pada Ramadan lalu, Danny terus meluahkan perasaan seterusnya ‘melamar’ wanita berkenaan.

Katanya, Atikah dan keluarganya bersetuju jadi mereka terus berbincang dan sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada 25 Mac lalu sebelum berkahwin.

“Semua orang inginkan kebahagiaan cuma ditakdirkan perkahwinan pertama saya bertahan dua minggu saja.

“Tapi apa yang berlaku tak membuatkan saya serik dan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci pada Februari lalu, saya berdoa di depan Kaabah minta Allah SWT pertemukan jodoh kerana mahu teman hidup.

“Saya minta emak doakan saya juga dan syukur kerana Allah SWT makbulkan permintaan saya hari ini.

“Tak sangka, saya sah bergelar suami sekali lagi hari ini sekali gus menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang bukan hanya perlu menjaga isteri malah anak tiri juga anak yang saya besarkan sejak kecil,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Danny, dia tidak ragu malah yakin keputusannya berkahwin lagi adalah yang terbaik dan percaya dengan perancangan Allah SWT.

Katanya, keluarga juga tidak pernah menghalang malah merestui hasratnya untuk membina masjid.

“Keluarga tak pernah kongkong saya sejak dulu atau kata itu dan ini sebaliknya apa yang terbaik mereka akan sokong.

“Ibu pun memang harap saya berkahwin lagi dan sangat teruja untuk bantu buat persiapan selepas dapat tahu tarikh perkahwinan.

“Nampak air muka ibu sangat bersyukur…harapnya perkahwinan ini yang terakhir buat saya dan isteri serta menemui kebahagiaan sampai syurga.

“Kalau boleh, saya nak sehidup semati dengan isteri, bahagia walau apa jua rintangan dan minta semua doakan kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah perkahwinan Danny dengan seorang wanita yang baru lima hari dikenali sebelum sepakat berumah tangga.

Bagaimanapun, perkahwinan Danny dengan wanita itu hanya bertahan dua minggu saja sebelum mereka berpisah dan membawa haluan masing-masing.

Kisahnya tular ketika itu dan tidak serik dengan apa yang terjadi, Danny kemudiannya berkenalan dengan seorang lagi wanita.

Bagaimanapun, hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian selepas dapat tahu status individu terbabit yang didakwa sudah berkahwin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top