Kesilapan paling mahal

Kesilapan paling mahal

rama@mediaprima.com.my

“Very early in my life it was too late.” Ungkapan menusuk kalbu ini dinukil penulis Perancis, Marguerite Duras dalam karyanya yang bertajuk The Lover.

Kata-kata dalam novel autobiografi keluaran tahun 1984 itu kembali bermain berulang kali di benak minda ketika saya duduk di bangku panjang yang keras di sebuah kamar Mahkamah Majistret di sebuah daerah di Lembah Klang, kira-kira dua minggu lalu.

Jam di dinding kiri mahkamah menunjukkan lebih kurang 8.45 pagi. Cuaca di luar muram, semuram wajah mereka yang berada galeri awam mahkamah.

Enam bangku panjang di situ hampir penuh diisi oleh ahli keluarga – ibu bapa, isteri, adik-beradik – serta majikan dan rakan-rakan. Masing-masing diselubungi kegelisahan menanti waris mahupun kenalan mereka dibicarakan di hadapan majistret sebentar lagi.

Di meja di bahagian kiri mahkamah, anggota polis sibuk menguruskan tahanan reman yang akan dibicarakan pada hari itu. Di ruang tengah, peguam dan pendakwa raya kelihatan berbual sambil membelek-belek dokumen sementara menunggu majistret masuk ke kamar.

Sesekali seorang peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang berjambang putih bertandang ke galeri awam sambil memegang fail dan bertanya waris siapa tidak diwakili peguam.

Pada jam lebih kurang 8.54 pagi, seramai lapan lelaki yang direman – warga tempatan dan asing – dibawa masuk ke kandang tahanan dari pintu sisi di kiri mahkamah. Mereka yang berambut pendek dan ada antaranya bertatu digari bersama menggunakan rantai panjang. Mata mereka melilau mencari waris di galeri awam.

Tiga minit kemudian, tiga wanita muda yang berusia 19 hingga 20 tahun serta masih belajar dibawa masuk. Mereka juga bergari. Tetapi diarah duduk di bangku panjang di sebelah kanan mahkamah berdekatan galeri awam. Mereka berpakaian seperti ke pusat hiburan.

Salah seorang daripada mereka menangis teresak-esak apabila terpandang ibu bapanya yang hadir di galeri awam. Melihat anak menitis air mata, mereka mendekati wanita berkenaan. Dengan suara lembut, tetapi sugul si ibu berbual dengan air mata turut bergenang. Si bapa hanya berdiri membisu di sisi.

Meskipun suasana agak beremosi, seorang kawan wanita yang menangis itu kelihatan agak gembira – macam tiada apa-apa yang berlaku. Dia berbual rancak, asyik tersenyum melambai-lambai ke arah kawan-kawan yang hadir di galeri awam.

Selepas beberapa detik, si ibu dan si bapa kembali ke bangku panjang. Di sebelah mereka ada seorang peguam wanita yang diupah bagi mewakili anak perempuan mereka itu.

Di sebelah saya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang sekian lama membungkam, menapak turun ke tangga terakhir galeri untuk mendekati kandang tahanan reman untuk berjumpa seorang pemuda yang digari bersama tujuh tahanan lain berkenaan.

Hampir seminit berbual dia kembali ke bangku. Dia nampak keliru. Kusut. Sekusut roti jala.

Siapa yang biasa dengan prosedur perundangan? Mahkamah bukan medan makan yang dikunjungi saban hari dengan hati yang suka.

Bagi orang biasa seperti kita, berada di mahkamah sahaja sudah cukup membuatkan fikiran berserabut, apatah lagi apabila berdepan dengan proses perjalanan undang-undang yang kedengaran asing dan sukar difahami. Jika mendengar kadar bayaran khidmat guaman, seseorang boleh pengsan terus! Nasib baik ada YBGK.

Naluri kewartawanan saya berbunga. “Siapa tu, adik ke?” tanya saya ringkas.

“Ahhh…adik saya. Dia kena kes jadi keldai akaun. Dia kerja seorang diri di Kayel (Kuala Lumpur) sambil buat diploma. Tiba-tiba jadi gini. Dia kata dia hanya pinjamkan nombor akaun kepada kawan,” katanya yang datang dari Ipoh selepas mendapat panggilan telefon daripada pegawai penyiasat kes.

Seminit kemudian selepas melihat telefon bimbit, lelaki itu meninggalkan galeri mahkamah. Sebelum pergi dia sempat berkata: “Saya nak uruskan duit. Nak bayar denda atau jaminan.”

Orang ramai berterusan keluar masuk ke kamar mahkamah. Sekali-sekala, polis meminta hadirin merendah suara.

Kemudian, secara tiba-tiba, seorang pemuda daripada lapan yang bergari dalam kandang tahanan reman menoleh ke belakang dan bersuara: “Ma, ada bawa duit ke?”

Mendengar pertanyaan itu, seorang wanita berusia awal 50-an mengangguk sambil menunjukkan isyarat tangan meminta anaknya yang berusia awal 20-an itu bersabar. Wanita berkenaan yang datang bersama seorang remaja perempuan nampak gelisah.

Jam sudah 9.07 minit pagi. Salah seorang daripada tiga wanita muda itu masih menitiskan air mata. Mukanya sudah merah. Seorang lagi masih happy lagi.

Tepat jam 9.08 minit seorang majistret wanita melangkah masuk ke kamar mahkamah.

“Court bangun” jerit seorang anggota polis. Prosiding mahkamah bermula. Jurubahasa bangkit lalu mula menyebut nombor kes dan membaca pertuduhan.

Lepas satu kes, kes lain. Ada yang mengaku bersalah. Ada yang mengaku tidak bersalah. Bagi yang mengaku bersalah, peguam membuat rayuan untuk meringankan hukuman sebelum majistret menjatuhkan penghakiman.

Apabila sampai giliran tiga wanita muda itu, mereka semua mengaku bersalah. Tangisan seorang daripada mereka yang menangis sejak tadi, bertambah kencang sebaik memberikan pengakuan.

“Yang Arif, saya memohon hukuman ringan kerana tertuduh masih belajar. Ia kesalahan pertama dan pengakuan tertuduh menjimatkan masa mahkamah,” rayu peguam yang mewakili wanita muda itu dalam mitigasinya.

Semua mereka didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di sebuah pusat hiburan beberapa hari sebelumnya. Mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Saya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap setiap seorang tertuduh,” perintah majistret sambil menambah mereka perlu menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan, mereka berdepan hukuman penjara empat bulan.

Ibu bapa wanita muda berkenaan segera meninggalkan kamar untuk membayar denda selepas berbincang ringkas dengan peguam.

Pemuda yang kena pertuduhan menjadi keldai akaun turut mengaku bersalah. Dia diwakili peguam bela YBGK.

“Yang Arif, tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa depan. Saya mohon hukuman ringan kerana tertuduh dalam proses membuat diploma,” rayu peguam terbabit.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Manakala pemuda yang bertanyakan perihal wang kepada ibunya itu menghadapi dua pertuduhan: pertama, memiliki dadah dan kedua, menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa yang dikenakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi kesalahan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh didenda RM2,000 atau dua bulan penjara. Tertuduh turut diperintah menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

“Saya terpaksa gadai barang kemas untuk sediakan wang denda. Tak tahu apa nak jadi selepas ni,” kata ibu kepada pemuda berkenaan sebelum dia turut bergegas untuk melunaskan denda.

Seperti hari lain, saya sedih memerhatikan apa yang berlaku di kamar mahkamah pagi itu.

Ketiga-tiga tertuduh terbabit masih muda. Ada yang masih belajar, ada yang baru mahu mengenal dunia dan ada yang mungkin hanya menganggap apa yang dilakukan sebagai kesilapan kecil yang tidak membawa akibat besar.

Tetapi pagi itu mereka belajar sesuatu yang mungkin paling mahal dalam hidup – setiap perbuatan ada akibatnya.

Denda boleh dibayar. Barang kemas boleh digadai. Hukuman penjara boleh berakhir. Namun, rekod jenayah akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah hidup mereka. Apabila tiba masanya mereka mahu mencari pekerjaan, menyambung pengajian atau membina semula kehidupan, masa lalu yang gelap itu mungkin kembali mengetuk pintu realiti kehidupan.

Sebab itu, ungkapan Marguerite Duras yang bermain di fikiran saya sejak awal pagi itu terasa begitu dekat: “Very early in my life it was too late.”

Mudah-mudahan anak- anak muda yang tersilap langkah dan saya lihat di kamar mahkamah pagi itu kembali memperbetulkan haluan.

Hidup mereka baru sahaja bermula. Jangan biarkan satu kesilapan pada usia muda menjadi bayang-bayang yang mengiringi seluruh perjalanan masa depan.

Kadangkala, yang paling menakutkan bukan hukuman yang dijatuhkan hari ini, tetapi pintu-pintu harapan yang mungkin tertutup esok.

Penulis wartawan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top