IPOH: Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP Perak) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini menandatangani Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA).
Dalam kenyataannya PKNPk berkata, perjanjian itu mewujudkan kerangka kerjasama selama 40 tahun untuk membekalkan air terawat daripada sumber lebihan air mentah Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) kepada Pulau Pinang.
Menurutnya, PAIP Perak, anak syarikat milik penuh Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP), merupakan pembekal air terawat di bawah perjanjian tersebut.
Katanya, KAP ialah syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), yang ditubuhkan untuk membangunkan dan melaksanakan NPWSS manakala PBAPP, syarikat utiliti air Pulau Pinang adalah pembeli air terawat di bawah perjanjian itu.
“Perjanjian ini dibina berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 6 November 2025 dan memeterai terma komersial, tanggungjawab pengoperasian dan pengaturan bekalan jangka panjang bagi kerjasama air strategik negara ini.
“Perjanjian ini memperuntukkan tempoh operasi selama 40 tahun, bermula pada penyerahan pertama air terawat yang disasarkan pada suku pertama tahun 2032, tertakluk kepada penyiapan infrastruktur yang diperlukan, kelulusan kawal selia dan pematuhan syarat-syarat terdahulu yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.
PKNPk berkata, di bawah rangka kerja komersial, PBAPP akan membayar Caj Kapasiti tahunan kira-kira RM210 juta untuk menjamin kapasiti rawatan dan pengedaran khusus.
Menurutnya, caj bekalan bermula pada RM1.70 setiap meter padu akan dikenakan ke atas air yang dibekalkan, disokong oleh mekanisme kenaikan berstruktur yang memberikan kepastian tarif jangka panjang.
“Perjanjian ini juga menggabungkan mekanisme pelarasan kos bagi kos elektrik dan bahan kimia untuk memastikan turun naik dalam kos operasi utama diuruskan secara telus.
“Perjanjian ini menjadi mercu tanda penting pembangunan infrastruktur air negara dalam pelaksanaan NPWSS dan menyediakan rangka kerja komersial jangka panjang yang menyokong pelaburan dalam infrastruktur air strategik sambil mengukuhkan keselamatan air negara,” katanya.
PKNPk menjelaskan, dengan BWSA yang kini dilaksanakan, kedua-dua pihak akan meneruskan usaha untuk mendapatkan sokongan peraturan yang diperlukan.
“Ini termasuklah pelaksanaan perjanjian muktamad antara Kerajaan Negeri Perak dengan KAP, menyusuli Surat Pelantikan, bagi NPWSS dan pendaftaran dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), manakala PBAPP membentangkan perjanjian tersebut untuk kelulusan pemegang saham awamnya,” katanya. – UTUSAN




