Perak sekadar seri di laman sendiri

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR: Pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC yang turun dengan 100 peratus pemain tempatan, sudah cukup untuk mencuri satu mata daripada Perak FC dalam aksi Liga Super, malam ini.

Pada aksi di Stadium Perak, Ipoh, skuad tuan rumah yang turun dengan dua pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Raianderson da Costa Morais, serta Guilherme de Paula yang baharu mendapat status naturalisasi, gagal merobek benteng skuad “The Phoenix” itu.

Walaupun kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus, tiada jaringan dapat dihasilkan sepanjang 90 minit perlawanan, menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Skuad PJ City FC sebelum ini membuat keputusan untuk menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya bagi musim ini.

Sementara itu, aksi Liga Perdana menyaksikan Sarawak United FC (SUFC) mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan tuan rumah mendahului menerusi D Christie Jayaseelan yang menyudahkan hantaran silang daripada Norshahrul Idlan Talaha dari kiri padang pada minit ke-12 perlawanan.

SUFC menambah derita Kelantan United menerusi sepakan penalti pemain import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-32, selepas Norshahrul dikasari pertahanan KUFC.

SUFC memilih untuk beraksi di Melaka pada musim ini bagi memudahkannya mengikuti jadual perlawanan liga berikutan arahan Kerajaan Negeri Sarawak yang mewajibkan mana-mana individu yang mahu memasuki negeri itu menjalani kuarantin selama 14 hari dalam usaha memerangi COVID-19. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd