PM sebak dapat masuk dalam Kaabah

zanariah_mutalib@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa sebak dan melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang memasuki Kaabah dan menunaikan umrah di Makkah, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, peluang atas perkenan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud itu adalah aturan Allah yang amat besar nilai dan maknanya.

Katanya, ia bukan saja untuk beliau dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, malah adalah bukti ukhuwah persaudaraan yang amat akrab dan penghormatan untuk umat Islam di Malaysia daripada kerajaan Arab Saudi.

“Beroleh keizinan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci, menjejakkan kaki di Masjidilharam, seterusnya menunaikan ibadah umrah malam tadi adalah satu nikmat yang amat saya syukuri dengan penuh rendah hati.

“Yang lebih membuatkan saya sebak dan bersyukur, apabila dengan izin-Nya juga, Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci memperkenan untuk saya memasuki Kaabah,” kata beliau melalui laman Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi menjadi ketua kerajaan pertama berpeluang masuk ke dalam Kaabah di Masjidilharam selepas lebih setahun ia ditutup berikutan wabak COVID-19.

Perdana Menteri berkata, beliau amat memahami kerinduan umat Islam terutama di Malaysia untuk kembali ke Tanah Suci dan ia tidak digambarkan dengan kata-kata.

“Saya diizinkan-Nya untuk kembali ke sini, namun saya tidak sesekali menganggapnya sebagai keistimewaan peribadi.

“Saya percaya, ini adalah amanah oleh-Nya untuk saya hadir dan berusaha sedaya upaya agar lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat kembali ke bumi Makkah.

“Sebab itu, semalam ketika menunaikan umrah dan berada di dalam Kaabah, saya bagi pihak rakyat khususnya umat Islam di Malaysia berdoa dengan sesungguhnya, semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, seluruh dunia bebas daripada wabak penyakit dan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia dapat segera kembali berpeluang ke tanah suci sebagai tetamu Allah,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan umat Islam dan beliau yakin tidak lama lagi, Makkah akan kembali diimarahkan dengan ibadah umrah serta ziarah.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad bin Salman, yang mengundang saya ke Arab Saudi,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan, beliau dan isteri akan ke Madinah untuk melakukan ziarah ke makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi, sebelum memulakan program yang sudah diatur dalam rangka lawatan rasmi ke negara itu.

“Doakan perjalanan kami ini dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Perdana Menteri berada di Arab Saudi sejak semalam bagi memenuhi jemputan Raja Salman sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur pada 11 Mac.

Lawatan itu dalam usaha memperkasa hubungan dua hala dengan negara Asia Barat berkenaan membabitkan pelbagai bidang terutama dalam hal ehwal Islam dan perdagangan terutama ketika cabaran berikutan wabak COVID-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd