Perancis pilih Brazil, Colombia untuk aksi pemanas badan di AS

Perancis pilih Brazil, Colombia untuk aksi pemanas badan di AS

Paris: Perancis bakal menguji kekuatan mereka menjelang Piala Dunia tahun depan dengan mengatur dua perlawanan persahabatan bertaraf tinggi menentang Brazil dan Colombia di Amerika Syarikat pada Mac depan, umum Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo.

Les Bleus dijadualkan menentang Colombia di Florida sebelum berdepan gergasi Amerika Selatan, Brazil di Boston pada jendela aksi antarabangsa dari 23-31 Mac depan, kira-kira tiga bulan sebelum Piala Dunia 2026 membuka tirai di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat bermula 11 Jun-19 Julai.

“Belum ada yang ditandatangani, tetapi semuanya berjalan lancar untuk kami beraksi di bumi Amerika dengan dua lawan berprestij. Ia peluang terbaik memandangkan Piala Dunia akan berlangsung di sana,” kata Diallo kepada media.

“Brazil adalah pasukan pilihan, jadi kami pasti tidak akan bertemu mereka di peringkat kumpulan. Colombia pula mungkin menjadi lawan, jadi kita tunggu pandangan Didier Deschamps. Sambil menunggu undian, persiapan berjalan baik,” katanya.

Perancis akan menjadi pasukan pilihan pada undian Piala Dunia yang dijadual berlangsung di Washington pada 5 Disember, manakala Colombia ditempatkan dalam Balang 2.

Diallo turut mengesahkan Perancis akan mengadakan dua lagi aksi persahabatan pada Jun, dan beliau berharap kedua-duanya berlangsung di Perancis bagi memberi peluang kepada Deschamps mempersiapkan pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top