‘Perang baharu’ penduduk Palestin

‘Perang baharu’ penduduk Palestin

GENTING GAZA – Penduduk Palestin menggunakan sisa runtuhan untuk menurap jalan yang musnah akibat perang ganas dilancarkan rejim Zionis selama lebih dua tahun.

Projek kendalian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) itu memanfaatkan timbunan konkrit dan logam sebagai langkah pertama untuk proses pemulihan wilayah itu yang binasa teruk.

“Enklaf itu berdepan cabaran pembersihan pasca perang berskala besar melibatkan kira-kira 61 juta tan sisa runtuhan. Kami menghancurkan dan menggunakannya semula. Jalan yang diturap termasuk di kawasan menjadi tempat berlindung penduduk Palestin dan dapur komuniti,” kata Ketua Pejabat UNDP di Gaza, Alessandro Mrakic.

Di Khan Yunis, selatan Gaza, beberapa penduduk Palestin mengendalikan jentera berat untuk memecahkan konkrit yang dikumpulkan.

Kemajuan projek itu agak perlahan disebabkan bahaya yang tersembunyi di bawah runtuhan. Sebelum timbunan sisa runtuhan dapat dialihkan, kawasan tersebut perlu diperiksa untuk memastikan tiada bom yang belum meletup di bawah usaha diselaraskan bersama perkhidmatan penyahperiuk api PBB.

“Saya terpaksa melakukan kerja ini kerana tidak dapat mencari sumber pendapatan lain walaupun kami berisiko cedera,” kata Ibrahim al-Sarsawi, 32.

Seorang pemuda Palestin menggunakan kudratnya untuk memecahkan timbunan runtuhan konkrit.

Seorang pemuda Palestin menggunakan kudratnya untuk memecahkan timbunan runtuhan konkrit.

Menurutnya, lokasi tapak kerja yang berhampiran dengan ‘Garisan Kuning’ ditubuhkan Israel menyebabkannya terdedah kepada tembakan sesat askar Zionis.

UNDP menjangkakan kerja pembersihan runtuhan di Gaza boleh mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk diselesaikan jika akses kepada jentera berat dan bekalan bahan api tidak berdepan sebarang sekatan.

Setakat ini, agensi itu telah mengalihkan kira-kira 287,000 tan runtuhan, namun jumlah itu hanyalah ‘sebahagian kecil sahaja’.

Menurut penilaian akhir Kerosakan dan Keperluan Pantas Gaza yang dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah, PBB dan Bank Dunia, pemulihan serta pembinaan semula di wilayah itu memerlukan dana dianggarkan berjumlah AS$71.4 bilion (RM282 bilion) dalam tempoh sedekad akan datang.

“Ini adalah permulaan ‘perang baharu’ membabitkan pembinaan semula, permulaan usaha mengalihkan runtuhan dan membaik pulih infrastruktur, elektrik, bekalan air, sistem kumbahan, sekolah serta jalan raya.”,” ujar Sobhi Dawoud, 60, yang kini menetap di ‘bandar khemah’ di Khan Yunis. – Agensi

Scroll to Top