BADHOEVEDORP: Hakim Belanda mahu waris keluarga mangsa MH17 akhirnya berupaya mendapat ‘pencerahan’ di sebalik tragedi pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai 2014.
Segelintir ahli keluarga dilihat hadir di mahkamah bagi mengikuti sidang minggu ini, yang menyaksikan barisan hakim akhirnya berupaya meneliti pembentangan bukti pendakwaan terhadap tiga warga Russia dan seorang warga Ukraine.
Perbicaraan secara rasmi bermula Mac tahun lalu tetapi hanya pada peringkat hujahan membabitkan penerimaan bukti berkaitan nahas yang mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat.
Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis, memaklumkan mahkamah bahawa sehingga kini tiada seorang pun tampil ke depan mengaku bertanggungjawab walau sedikit pun terhadap nahas udara MH17.
Sehubungan itu, katanya, pembentangan bukti berkait nahas udara harus didengari dalam sesi mahkamah terbuka, meskipun secara absentia (tanpa kehadiran di mahkamah).
Tertuduh ialah bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy dan bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.
Semua tertuduh didakwa dengan kesalahan membunuh dan dengan sengaja serta tidak sah memusnahkan MH17 yang menyebabkan kematian 298 penumpang.
Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun penjara tanpa parol atau pembebasan awal.
Kesalahan menyebabkan jatuhnya pesawat MH17 sehingga mengakibatkan kematian semua penumpang dan kru pesawat didakwa mengikut Artikel 168 Kod Jenayah Belanda, manakala kesalahan membunuh pula mengikut Artikel 289 kod sama.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Dedy Woei-A-Tsoi dan Ward Ferdinandusse.
“Pendengaran dibuat secara awam ini penting untuk masyarakat secara umum dan waris keluarga secara khusus, supaya ada pencerahan mengenai hasil penyiasatan yang dikendalikan selepas beberapa tahun,” kata Steenhuis.
Minggu ini, kata Steenhuis, panel hakim mahkamah akan meneliti bukti keterangan mengenai tiga persoalan penting.
Ini termasuk sama ada pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia, lokasi pelancaran peluru berpandu itu dan peranan empat tertuduh dalam nahas udara berkenaan.
“Idea bahawa kapal terbang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK kendalian puak pemisah pro-Russia di timur Ukraine ialah senario utama, tetapi kita masih akan meneliti teori lain termasuk MH17 ditembak pesawat lain.
“Mahkamah akan memberi tumpuan kepada perkara utama mengenai bukti, berbanding meneliti segenap perkara.
“Fail itu mempunyai 65,000 halaman, video selama ratusan jam dan rakaman audio. Ia kes yang sangat besar, justeru amat sukar untuk membicarakan setiap perincian,” katanya.
Kompleks Kehakiman Schipol yang bertindak sebagai Mahkamah Daerah The Hague (Mahkamah Rendah), menerusi kenyataan memaklumkan ia akan mula mendengar merit kes.
Ia akan bermula dengan topik umum, termasuk perkembangan siasatan kendalian majistret pemeriksa, disusuli perbincangan selama tiga hari bermula hari ini.
Pihak pendakwaan dan peguam bela pula diberikan ruang serta peluang untuk membangkitkan isu ketika perbincangan berlangsung sehingga 9 Julai ini.
Katanya waris mangsa juga turut berpeluang memberi keterangan pada September ini.
Barisan panel tiga hakim diketuai Steenhuis, bersama-sama Dagmar Kosters dan Helen Kersterns-Fockens.
Pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, iaitu wilayah yang dikawal pemberontak pro-Russia.
Siasatan antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti Pesawat ke-53 tentera Russia, berpusat di bandar Kursk, bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Keempat-empat tertuduh didakwa sebagai dalang utama dalam kumpulan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiew.
Perbicaraan diadakan di Lapangan Terbang Schipol kerana itu tempat pesawat itu berlepas dan 196 mangsa adalah warga Belanda.
Bulan lalu, hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 buat pertama kalinya dan menyifatkannya sebagai hari yang penuh dengan emosi.
Rangka bahagian depan pesawat itu dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda.
xns”Kami sedar kunjungan ke lokasi pembinaan semula MH17 sebagai sebahagian daripada proses jenayah rasmi akan menjadi sangat emosi untuk ahli keluarga mangsa,” kata Steenhuis. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




