am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Percutian pasangan suami isteri warga China ke negeri ini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di pantai Pulau Sapi di sini, hari ini.
Mangsa, Zhou Chunguang, 51, ditemukan lemas oleh pelancong lain ketika mandi di pantai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan isterinya ke Pulau Sapi menggunakan bot pelancongan kira-kira 10 pagi semalam.
“Mangsa kemudian mandi bersendirian di pantai berkenaan manakala isteri mangsa berada di pantai kira-kira 12.45 tengah hari.
“Kira-kira 30 minit kemudian, mangsa dijumpai lemas oleh dua orang pelancong lain sebelum mereka meminta bantuan kepada pengawal pantai di Pulau Sapi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa naik ke pantai sebelum diberi bantuan pernafasan (CPR) selama lima minit.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jeselton Point menggunakan bot pelancongan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Bagaimanapun, Unit Kecemasan dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 1.55 tengah hari ketika berada di Jeselton Point,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, mangsa dibawa ke HQE 1 untuk tindakan lanjut dan kes diklasifkasikan sebagai mati mengejut.
© New Straits Times Press (M) Bhd
