'Perginya pemilik suara buluh perindu'

'Perginya pemilik suara buluh perindu'

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kini, pesona wanita hebat penuh aura ini hanya tersimpan kemas dalam ingatan. Industri muzik Bollywood dirundung awan gelap atas pemergian penyanyi legenda, Lata Mangeshkar pada usia 92 tahun.

Selama hampir 70 tahun vokal emasnya dipinjamkan kepada ramai aktres terkenal Bollywood dari pelbagai generasi dan menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia, kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Berita pemergian penyanyi Mangeshkar akibat kegagalan pelbagai organ selepas disahkan positif COVID-19, jam 8.12 pagi semalam (waktu tempatan), cukup mengejutkan ramai.

Khabar duka itu diumumkan Dr Pratit Samdani dari Hospital Breach Candy, Mumbai, India di mana penyanyi tersohor itu mendapatkan rawatan selama 28 hari selepas disahkan dijangkiti virus itu.

Sebagai penyanyi ikonik India, keistimewaan pemilik nama sebenar, Hema Lata Mangeshkar ini terletak pada vokalnya yang bukan sahaja mampu menarik nada tinggi, tetapi memiliki kemerduan asli.

Kehilangannya diratapi segenap lapisan masyarakat dengan ucapan takziah dan luahan kesedihan membanjiri laman sosial.

Golongan marhaen sehingga kepada pembesar negara, semuanya berkongsi kedukaan yang sama.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menerusi ciapan di Twitter turut meluahkan rasa dukacita atas pemergian penyanyi yang dianggap seperti kakak sendiri.

“Lata Didi (kakak) yang baik hati dan penyayang meninggalkan kami. Beliau meninggalkan kekosongan dalam negara kami yang tidak boleh diisi.

“Generasi akan datang akan mengingatinya sebagai seorang yang setia kepada budaya India, pemilik suara merdu yang mempunyai keupayaan untuk memukau orang ramai tanpa ada tandingan,” tulisnya.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa dicurahkan oleh Lata Mangeshkar, kerajaan India mengarahkan rakyat berkabung selama dua hari.

Bendera negara dikibarkan separuh tiang selama dua, manakala segala acara hiburan rasmi tidak dibenarkan.

Mengimbau kembali perjalanan kerjaya seni penyanyi yang mendapat jolokan ‘Nightingale Of India’, Mageshkar yang juga kakak kepada penyanyi veteran, Asha Bhosle ini mendapat latihan asas dalam bidang muzik ketika berusia lima tahun.

Insan bertanggungjawab memperkenalkan Mangeshkar kepada dunia muzik adalah bapanya, Deenanath Mangeshkar yang juga penyanyi klasik dan pelakon pentas yang hebat.

Kali pertama membuat persembahan di khalayak ramai pada usia sembilan tahun dan mula merakam lagu pertama pada usia 13 tahun.

Selepas bapanya meninggal dunia, Mangeshkar mengambil alih tugas untuk menyara empat adik beradiknya. Ibunya pula hanya bekerja dalam industri sinema India.

Meskipun pernah ditolak kerana suaranya dikatakan tidak sesuai menjadi penyanyi runut bunyi, namun wanita ini tidak kenal erti putus asa.

Menjelang 1948, Mangeshkar berjaya meminjamkan suara untuk enam filem.

Oleh kerana reputasi bapanya dalam persada muzik klasik, Mageshkar diperkenalkan kepada beberapa komposer seperti Aman Ali Khan yang membimbing dan melatihnya selama beberapa tahun.

Tidak mengambil masa untuk memuaskan hati banyak pihak, Mangeshkar kemudiannya diberi kepercayaan mendendangkan banyak lagu hits, sekali gus membuatkan beliau menjadi buruan ramai komposer ternama.

Antara komposer yang pernah menggunakan vokal buluh perindunya itu adalah Madan Mohan, RD Burman, Gulzar dan AR Rahman.

Kredibilitinya turut membuatkan Mangeshkar diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu Aye Mere Watan Ke Logon, lagu yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat India selepas perang Indo-China pada 1963.

Mangeshkar memenangi anugerah pertama untuk lagu, Aaja Re Pardesi dalam filem Madhumati pada 1958, manakala anugerah filem kebangsaan pertama pada 1973 untuk lagu Beeti Na Bitai yang dipetik daripada filem Parichay.

Pada 2001, beliau dianugerahkan Bharat Ratna, iaitu penghormatan awam tertinggi di India.

Sepanjang tujuh dekad pembabitannya dalam dunia seni, Mangeshkar meminjamkan suara kepada lebih 1,300 filem dan menyanyikan lebih 30,000 lagu dalam 36 bahasa termasuk Hindi, Tamil, Malayalam dan Bengali sejak 1942.

Muziknya juga pernah digunakan dalam filem Hollywood seperti Eternal Sunshine of the Spotless Mind, Life of Pi, Lion dan The Hundred-Foot Journey.

Walaupun dilabel superstar dan ikon seni suara, Mangeshkar sangat tegas memegang prinsip diri.

Bertentangan dengan sikap seorang selebriti, beliau lebih suka tidak menjadi tumpuan dan jarang bercakap mengenai kehidupan peribadinya.

Ketika hayatnya, Mangeshkar tidak lokek berkongsi petua mengenai kejayaan yang dikecapinya itu.

“Bakat semula jadi menyumbang kira-kira 75 peratus, selebihnya adalah kerja keras, amalan dan sekatan makan minum,” kongsinya dalam satu program wawancara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top