VENICE: Menteri kewangan G20 dijangka memberi lampu hijau kepada perjanjian ‘revolusi’ untuk pencukaian yang bersifat lebih adil kepada syarikat multinasional.
Ia adalah rangka kerja bagi pembaharuan cukai global, termasuk kadar korporat minimum 15 peratus yang sudah dipersetujui 131 negara sejak awal bulan ini.
Ia bertujuan mencegah negara-negara terus bersaing menawarkan tarif pencukaian yang lebih rendah untuk menarik pelabur sedangkan syarikat multinasional terpaksa menanggung bebanan tinggi.
Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire, memberitahu AFP bahawa langkah yang akan dilaksanakan itu umpama revolusi dalam pencukaian.
Katanya, tarif cukai minimum sebegitu mungkin akan bermula pada 2023 dan mungkin dianggap ‘bercita-cita tinggi’, malah negaranya, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman mahukan kadar lebih tinggi.
Namun, menteri kewangan dan bank pusat dari G20 dijangka tidak akan menetapkan kadar itu lebih daripada 15 peratus, yang dipersetujui pada 1 Julai lalu.
Perjanjian akhir pula tidak mungkin berlaku sehingga menjelang sidang kemuncak pemimpin G20 di Rom pada Oktober ini, bagaimanapun pertemuan di Venice akan memberi peluang untuk memperoleh lebih banyak maklumat.
Ia juga bakal menjadi forum ‘menekan’ mereka yang masih belum menandatangani perjanjian di bawah kawal selia Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang mempunyai keahlian 38 negara ekonomi besar.
Agensi bantuan lain termasuklah Oxfam turut mendakwa kadar 15 peratus itu terlalu rendah, namun banyak negara menentang, umpamanya Ireland, yang cuba memikat syarikat Apple dan Google ke Dublin melalui percukaian yang rendah.
Kadar minimum dijangka memberi kesan kepada kurang 10,000 syarikat besar tetapi OECD menjangkakan kadar 15 peratus akan menjana tambahan perolehan AS$150 bilion (RM621 bilion) setahun.
Negara G20, yang memiliki sekitar 85 peratus kekayaan global, juga akan membincangkan mengenai perubahan iklim dan pemulihan ekonomi daripada pendemik COVID-19, terutama memastikan negara miskin tidak ketinggalan.
G20 juga dijangka meluluskan inisiatif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk segera menambah bantuan kepada negara menghadapi kesukaran menangani kesan pandemik, menerusi hak istimewa bagi memohon daripada rizab aset antarabangsa. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




