'Perkara yang kami takuti sudah benar-benar berlaku'

'Perkara yang kami takuti sudah benar-benar berlaku'

am@hmetro.com.my

Georgetown: “Perkara yang kami takuti sudah benar-benar berlaku,” begitu kata pemilik rumah teres dua tingkat di Jalan Batu Gantung di sini, selepas pokok yang berusia 150 tumbang menghempap sebahagian rumahnya.

Amerjit Kaur, 82, berkata, risiko pokok tumbang sering kali diadukan suaminya dan kejiranan di situ kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Namun tiada tindakan tepat diambil malah pihak berkenaan hanya melakukan pemangkasan dahan dan ranting tanpa tindakan menyeluruh.

“Kini yang kami dibimbangi sudah berlaku tetapi siapa yang boleh bertanggungjawab? Lebih mengecewakan, tiada kelibat wakil rakyat atau pihak atasan MBPP di lokasi.

“Kami terjejas teruk dan mahu kerajaan negeri termasuk MBPP mengambil tanggungjawab terhadap kejadian serta membayar ganti rugi atas semua kerosakan,” katanya yang juga pesara kerajaan.

Amerjit berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bersama anaknya yang baharu pulang dari ibu kota sebelum menerima panggilan daripada suaminya pada jam 7.52 malam.

Suaminya tidak dapat menyelamatkan diri kerana laluan keluar dihalang pokok tumbang dan meminta lelaki itu kekal di rumah sementara dia menghubungi pihak bomba.

“Kejadian itu memusnahkan bumbung parkir di rumah kami, taman pokok bunga, pagar dan tiga kenderaan namun saya bersyukur ia tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan ahli keluarga.

“Biasanya, kami selalu duduk berbual bersama di laman itu pada waktu petang dan saya juga kerap luangkan masa di situ dengan menanam pokok bunga.

Sementara itu anaknya, Parveen Sidhu, 49, berkata, ibu bapanya menetap di kediaman itu sejak tahun 1994 dan mendapati kediaman ketika ini masih tidak selamat didiami selagi kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan sepenuhnya.

“Ibu bapa sudah tidak bekerja dan tiada pendapatan. Jadi, saya mahu MBPP membaiki kerosakan di rumah dalam tempoh seminggu,” katanya.

Kejadian itu turut membabitkan sebuah lagi rumah yang turut mengalami kerosakan pada pagar dan sebahagian bumbung.

Bagi penyelia sebuah pusat jagaan warga emas, S Gayathri, 36, pula, dia bersyukur kejadian itu tidak membabitkan premis berkenaan meskipun pokok itu terletak di hadapan pusat jagaan.

“Tidak dapat dibayangkan nasib seramai 13 penghuni di sini yang berusia antara 65 hingga 90 tahun jika ia berlaku.

“Kejadian ini sebenarnya sudah dijangka kerana kami sering membuat aduan kepada MBPP.

“Namun, pihak MBPP hanya datang melakukan pemangkasan ranting dan dahan kira-kira setiap enam bulan sekali, itu pun selepas kami membuat panggilan dan memaklumkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian pokok tumbang yang menimpa dua rumah menyebabkan seorang warga emas terperangkap di dalam kerana pokok itu menghalangi laluan keluar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Zaini Zainudin berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 8.48 malam dan operasi membabitkan seramai 19 anggota dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Kediaman pertama tanpa penghuni mengalami kerosakan pada pintu pagar dan sebahagian bumbung manakala rumah kedua yang didiami warga emas itu pula mengalami kerosakan pada pagar dan bumbung tempat letak kereta, selain satu daripada tiga kenderaan di situ turut mengalami kerosakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top