KULAI – Kesukaran penduduk Kampung Pertanian mendapatkan perkhidmatan dobi layan diri tanpa perlu ke kawasan bandar menjadi pemangkin kepada penubuhan Dobi Kasih Rahmah di Jalan Manggis, di sini.Inisiatif di bawah program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) yang digerakkan Komuniti Madani Kulai itu kini memberi kemudahan kepada penduduk setempat menerusi perkhidmatan dobi layan diri beroperasi 24 jam sehari.Setiausaha Komuniti Madani Kulai, Mohamad Shafwan Ani berkata, meskipun baru memulakan operasi pada 11 Mei lalu, kemudahan tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan terutama ketika musim hujan.Menurutnya, sebelum ini penduduk terpaksa ke Bandar Putra atau bandar Kulai semata-mata untuk menggunakan perkhidmatan dobi layan diri.”Saya bersama Pengerusi Komuniti Madani Kulai, Mohd Syafiq M Hatta telah hantar permohonan pada 2024. Permohonan diluluskan pada tahun sama, manakala dana diterima pada penghujung 2025.”Kerja-kerja pengubahsuaian premis termasuk pemasangan elektrik dan kamera litar tertutup (CCTV) dilaksanakan sepenuhnya dari Januari hingga Mac lepas,” katanya kepada Sinar Harian.Mohamad Shafwan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai berkata, perancangan rapi membolehkan Dobi Kasih Rahmah direalisasikan demi kemudahan komuniti setempat.Menurutnya, dengan peruntukan RM100,000 itu, sebanyak dua mesin basuh dan dua mesin pengering baharu disediakan berasaskan sistem elektrik berbanding sesetengah dobi lain yang menggunakan gas.”Peruntukan ini juga kita gunakan untuk membayar sewa premis sehingga hujung tahun ini dan masih mempunyai baki sekitar RM20,000 untuk modal pusingan, utiliti serta perancangan masa depan.”Dobi Kasih Rahmah menawarkan caj RM5 bagi penggunaan mesin basuh selama 36 minit dan RM6 untuk mesin pengering selama 50 minit, selain menyediakan program infak barangan keperluan dobi.Bagi perancangan jangka panjang, Mohamad Shafwan berkata, pihaknya berhasrat menambah mesin bersaiz 20 kilogram berbanding saiz 13 kilogram sedia ada.”Kita juga berhasrat memperkenalkan sistem pembayaran menggunakan kod respons pantas (QR) bagi memudahkan pembayaran pelanggan,” katanya.Program SejaTi Madani diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui penyediaan dana komuniti antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi memperkasa sosioekonomi penduduk setempat.



