Perkasa integriti, antirasuah menerusi pendidikan – KSN

Perkasa integriti, antirasuah menerusi pendidikan – KSN

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Usaha memperkukuhkan nilai integriti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan undang-undang tetapi pendidikan supaya lama kelamaan menjadi satu budaya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ia penting untuk mewujudkan komuniti yang berintegriti, dan membawa kepada negara berintegriti.

“Pengukuhan integriti dalam kalangan penjawat awam bermula daripada peringkat individu yang melaksanakan perkara yang betul dan kemudian membudayakannya.

“Pembudayaan integriti bukanlah inisiatif sekali jalan tetapi memerlukan usaha dan komitmen yang konsisten secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Menembak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program ini, Shamsul menekankan kepentingan imbangan antara kerja dan sukan sebagai elemen utama untuk kesiapsiagaan mental dan fizikal.

Menurutnya, aktiviti seperti menembak anjuran SPRM ini bukan sahaja penting untuk meningkatkan tahap dalam mempertahankan diri, menajamkan fokus dan disiplin.

Tetapi, katanya, ia juga menyumbang kepada kesihatan mental dan fizikal, sekali gus membolehkan penjawat awam bekerja secara optimum.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sokongan daripada Ketua Setiausaha Negara sebagai Ketua Perkhidmatan dalam perkhidmatan awam amat penting dalam merealisasi agenda antirasuah dan pemerkasaan integriti.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara sebagai peneraju telah melaksanakan polisi yang lebih jelas kepada perkhidmatan awam iaitu meningkatkan integriti dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut menegaskan SPRM sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan dan berganding bahu terutamanya dalam mengadakan kursus bagi meningkatkan integriti penjawat awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top