Perkhidmatan rel, bas berjalan seperti biasa sepanjang musim perayaan – Prasarana

Perkhidmatan rel, bas berjalan seperti biasa sepanjang musim perayaan – Prasarana

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Operasi perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan berjalan seperti biasa sepanjang musim perayaan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan berkata, peningkatan penggunaan pengangkutan awam lazimnya berlaku menjelang musim perayaan apabila orang ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan terutama bagi tujuan membeli-belah.

Menurutnya, setakat ini operasi berjalan dengan baik dan jumlah penumpang masih tinggi sebelum bermulanya cuti sekolah.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan pengangkutan awam bagi urusan persiapan Aidilfitri berikutan kesiapsiagaan operasi dan teknikal yang berada pada tahap optimum sepanjang tempoh berkenaan.

“Fokus kami adalah memastikan operasi berjalan lancar serta mengurangkan sebarang kegagalan atau gangguan perkhidmatan.

“Alhamdulillah, buat masa ini semuanya berjalan dengan baik dan operasi diteruskan seperti biasa walaupun pada hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media anjuran Prasarana, di sini, hari ini.

Tambah beliau, operasi pada hari perayaan juga tidak berubah apabila kakitangan perkhidmatan termasuk juruteknik dan kapten bas tetap bertugas seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, kekerapan perkhidmatan mungkin diselaraskan mengikut jumlah penumpang semasa hari kelepasan awam.

“Ketika musim perayaan, jumlah penumpang biasanya berkurang kira-kira 50 peratus. Jadi kekerapan perkhidmatan akan diselaraskan mengikut ketetapan lesen operasi yang diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Penyesuaian itu juga lebih kurang sama seperti operasi pada hujung minggu atau waktu luar puncak,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Prasarana juga mengekalkan sasaran untuk mencapai penanda aras kebolehpercayaan operasi rel iaitu Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sebanyak satu juta menjelang pertengahan tahun ini.

Selain itu, katanya, jumlah petugas sokongan atau troopers dalam kalangan kakitangan turut ditambah untuk membantu penumpang sekiranya berlaku sebarang gangguan luar jangka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top