Perlis tekad rampas trofi PERR

Perlis tekad rampas trofi PERR

am@hmetro.com.my

Kangar: Skuad Perlis berazam mahu membawa pulang semula Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-103 menjelang sepak mula piala berprestij itu esok.

Bagi saingan kali ini, kelab Arau City FC yang membawa mandat Perlis diletakkan dalam Kumpulan A bersama Pulau Pinang selaku tuan rumah, Melaka dan Pahang.

Pengurus pasukan Perlis, Hairulanuar Yahaya berkata, pihaknya optimis pasukannya mampu melakukan kejutan bergelar juara pada saingan kali ini setelah negeri itu kali terakhir melakukannya pada edisi 2014 lalu.

“Skuad kita kali ini dibarisi dengan 27 pemain yang menjalani tiga fasa pemilihan dijalankan pada Ogos lalu dan rata-ratanya berusia 23 tahun ke bawah.

“Kita melihat skuad kali ini mampu melakar sesuatu pada kejohanan kali ini kerana ada pemain terpilih mempunyai pengalaman beraksi dalam liga tempatan termasuk Liga Super di negeri lain,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Arau City FC berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Perlis di sebuah restoran di Sungai Batu Pahat, di sini semalam.

Untuk rekod, Perlis menjadi juaraPERR sebanyak lima kali pada 1967, 1993, 2009, 2013 dan 2014 selain menjadi naib juara sebanyak enam kali pada 1974, 1977, 1987, 1994, 1996 dan 2015.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top