khairil.ashraf@hmetro.com.my
Bangi: Seramai 3,800 pelajar baharu bersetuju menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan mula mendaftar pada 27 September ini.
Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh berkata, jumlah yang menerima itu berdasarkan daripada 4,227 pemberian tawaran kepada bakal pelajar melalui sistem UPUOnline.
“(Mereka yang menolak) mungkin disebabkan menerima tawaran di tempat lain. Ada juga pelajar daripada matrikulasi dan sebagainya yang mungkin mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di luar negara.
“Kita tidak ada data kenapa mereka menolak, tetapi dari segi pengalaman, mereka akan ke universiti lain atau mengambil kursus lain,” katanya tadi.
Sufian berkata, dari segi jangkaan, hampir separuh pelajar yang mendaftar itu adalah daripada kategori golongan B40.
“Untuk kemasukan tahun ini, kita belum buat data yang terbaru tetapi dari segi data yang kita ada sebelum ini, hampir separuh adalah daripada pelajar golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut menggesa agar semua pelajar baharu atau lama yang memerlukan bantuan seperti kewangan untuk tidak malu dan segan menghubungi pihak universiti.
“Kalau mereka perlukan bantuan, jangan malu dan segan, hubungi kita. Jangan pergi cari along ke. Kita memang sedia membantu pelajar yang baharu dan sedia ada,” katanya.
Menurutnya, dari segi jumlah bantuan, UKM mengagihkan sebanyak RM6.5 juta membabitkan 8,043 pelajar pada tahun lalu.
Manakala setakat September tahun ini pula katanya, sebanyak RM2.6 juta keseluruhan bantuan diberikan kepada 4,010 pelajar universiti itu.
“Separuh daripada pelajar pra siswazah di UKM mendapat bantuan daripada pelbagai bentuk.
“Ini salah satu inisiatif yang dijalankan oleh UKM untuk memudahkan, bukan sahaja pelajar baharu tetapi juga pelajar sedia ada bagi membantu mereka menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di UKM,” katanya.
Selain itu katanya, bagi memudahkan pelajar mendapat bantuan, satu sistem dikenali sebagai Siswa UKM telah dibangunkan pada tahun lalu.
“Di dalam aplikasi itu, ada e-prihatin. Di situ, para pelajar boleh terus memohon bantuan secara dalam talian. Dengan adanya sistem ini, mereka tidak perlu lagi datang ke pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) semata-mata untuk dapatkan bantuan kewangan atau pelajaran,” katanya.
Menyentuh mengenai kesusahan Muhammad Aidil Izzudin Akhbar Nizam, 19, yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran sehingga kisahnya tular, Sufian menyatakan pihaknya sudah menghubungi bakal pelajar berkenaan.
Beliau berkata, Muhammad Aidil tidak perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM1,200 itu, selain dia juga akan menerima bantuan peralatan asrama apabila mendaftar pada 27 September ini.
Kisah kesusahan hidup Muhammad Aidil sebelum ini tular apabila dia tidak mampu membayar yuran pendaftaran bagi memasuki UKM.
© New Straits Times Press (M) Bhd

