mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pihak berkenaan perlu memperkasakan undang-undang sedia ada bagi membanteras jenayah sosial khususnya berkaitan aktiviti songsang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan segera berkaitan undang-undang perlu diambil bagi membasmi gejala songsang daripada berleluasa.
Katanya, pihak berkaitan perlu melihat alternatif secara menyeluruh berhubung perkara terbabit.
“Dari sudut pengawasan agama syariah, perkara itu ada di Selangor tetapi di Kuala Lumpur, tiada.
“Setakat ini, kita hanya minta mereka datang untuk pemulihan dan beri ceramah. Jadi, apa yang saya lihat, benda ini kalau kita tak berubah atau buat pindaan undang-undang, kes tidak dapat disiasat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkapan seramai 202 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, kelmarin.
Katanya, agak sukar untuk menuduh mereka dari sudut undang-undang yang ada sekarang.
Fadil berkata, sekiranya tiada usaha diambil, maka segala tindakan yang dilaksanakan adalah sia-sia.
“Benda ini akan berlaku lebih teruk kerana (walaupun) kami ambil tindakan, namun tidak ada keberhasilan. Itu yang saya nak tegaskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




