Kuala Lumpur : Sektor pertanian dan perladangan dijangka menyaksikan penggunaan teknologi dron yang meningkat secara meluas tahun ini berikutan peningkatan permintaan dan kesediaan teknologi, justeru membolehkan transformasi dipacu teknologi untuk memastikan kecekapan dan kemapanan.
Pengurus Teknologi Dron dan Ekosistem Revolusi Perindustrian Keempat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Wan Mohd Farhan Wan Mohd Fuad berkata COVID-19 telah merangsang dan mempercepatkan keperluan pendigitalan dan penerimaan teknologi dron dalam sektor ini.
“Berikutan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (sejak) tahun lepas, teknologi dron dilihat lebih kos-berkesan dan pilihan lebih baik terutamanya bagi industri konvensional di Malaysia seperti penanaman padi dan perladangan sawit,” katanya ketika Sidang Kemuncak Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) Maya Pertama Dunia hari ini.
Sidang kemuncak itu disertai 300 peserta dari seluruh negara dengan menampilkan penceramah dan pihak berkuasa pengawalseliaan dari pelbagai negara seperti China, Jepun dan Greece serta entiti tempatan seperti — Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara Malaysia.
Selain itu katanya, MDEC juga berharap mempunyai peluang untuk melakukan ujian penghantaran dron rentas sempadan dengan negara-negara jiran.
Sumber : Bernama
Malay News
Technology



