am@hmetro.com.my
Putrajaya: Dalam menuju kelestarian alam dan menyokong usaha rendah karbon, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyasar penggunaan 242 kenderaan dan peralatan pembersihan berkuasa elektrik di seluruh kawasan perkhidmatannya menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, ia sebagai sebahagian usaha memperluas penggunaan teknologi hijau dalam operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Antara aset elektrik yang digunakan termasuk mesin kutipan sampah kecil, peniup daun, penyapu jalan elektrik, tong sampah pintar dan kenderaan penyelenggaraan jalan.
Setakat ini, Alam Flora sudah melaburkan kira-kira RM3 juta bagi pemerolehan aset, pembangunan teknologi dan infrastruktur berkaitan.
“Susulan pelaksanaan beberapa Proof of Concept (POC) yang sedang dijalankan, Alam Flora akan terus menilai keberkesanan penggunaan teknologi elektrik bagi menentukan kadar pengembangannya berdasarkan keperluan operasi dan nilai yang dapat dijana.
“Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan yang dibuat mampu memberikan impak terbaik kepada operasi dan alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kenderaan dan Peralatan Pembersihan Elektrik Alam Flora di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, penggunaan aset berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, malah dijangka meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi di lapangan.
“POC sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi elektrik sebelum menentukan kadar pengembangannya berdasarkan keperluan operasi dan nilai yang dapat dijana.
“Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan yang dibuat mampu memberikan impak terbaik kepada operasi dan alam sekitar,” katanya.
Pada masa sama, Alam Flora turut melancarkan Alam Flora Driving Excellence Centre (AFDEC), iaitu fasiliti latihan berasaskan simulator bagi memperkukuh kompetensi pemandu, meningkatkan budaya keselamatan dan menyokong kecemerlangan operasi.
Penubuhan AFDEC bertujuan memastikan tenaga kerja Alam Flora sentiasa bersedia menghadapi perubahan teknologi dan keperluan operasi pada masa hadapan.
Sementara itu, Loy Sian berkata, inisiatif itu membuktikan sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam mampu menjadi antara peneraju penggunaan teknologi hijau yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.
Katanya, penggunaan kenderaan dan peralatan berkuasa elektrik itu dijangka membantu mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan pencemaran bunyi serta meningkatkan kecekapan tenaga.
“Pada masa yang sama, pemodenan operasi ini turut mempertingkatkan produktiviti kerja serta menyokong keselamatan dan keselesaan petugas barisan hadapan.
“Saya melihat pelaburan Alam Flora dalam kenderaan dan peralatan elektrik ini, sebagai satu langkah yang tepat serta selaras dengan komitmen Kerajaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengukuhan daya tahan bandar di Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




