Terdapat beberapa pertanyaan yang akan dikemukakan kepada setiap manusia di padang mahsyar kelak. Abu Barzah al-Aslami RA meriwayatkan: Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya mengenai umurnya pada apa dia habiskan, mengenai ilmunya setakat mana yang diamalkan, mengenai hartanya dari mana dia memperolehinya dan pada apa dia belanjakan dan mengenai jasadnya pada apa dia gunakan.” (Riwayat ad-Darimi dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)
Dalam riwayat lain daripada Ibnu Mas’ud RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Tidak akan berganjak kaki seseorang anak Adam pada hari kiamat dari sisi Tuhannya sehinggalah dia ditanya mengenai lima perkara; mengenai umurnya pada apa dia habiskan, mengenai masa mudanya pada apa dia gunakan, mengenai hartanya dari mana dia memperolehinya dan pada apa dia belanjakan dan mengenai apa yang diamalkan pada ilmu yang dipelajari.” (Riwayat at-Tirmizi)
Orang yang bertakwa pasti akan dapat menjawabnya dengan baik. Manakala orang yang kafir dan fasik, segala perbuatannya akan dihisab dengan terperinci. Daripada ‘A’isyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang pun yang akan dihisab (secara terperinci) pada hari kiamat kelak melainkan ia akan binasa.” Lalu, aku bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah Allah Taala telah berfirman: ‘Adapun orang yang diberikan kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan hisab yang mudah’ (al-Insyiqaq: 7-8) Maka, Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya itu adalah pembentangan amalan. Namun, tiada seorang pun yang akan diperincikan hisabnya pada hari kiamat kelak melainkan ia akan diazab.'” (Riwayat al-Bukhari)
Abu Hurairah RA dan Abu Sa’id RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba akan diadili pada hari kiamat kelak, lalu Allah bertanya kepadanya: Bukankah Aku telah menciptakan untukmu pendengaran, penglihatan, harta dan anak, dan Aku telah menundukkan untukmu haiwan ternakan dan tanaman serta Aku biarkan kamu menjadi pemimpin dan mendapatkan seperempat (harta rampasan). Maka, apakah kamu mengira bahawa kamu akan menemui-Ku pada hari ini?” Lalu, dia menjawab: ‘Tidak’. Lantas, Allah berfirman kepadanya: “Pada hari ini, Aku akan melupakanmu (membiarkanmu menerima seksaan) sebagaimana kamu telah melupakan-Ku.'” (Riwayatat-Tirmizi, katannya: Sahih gharib)
Terdapat berbagai ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa telinga, mata, kulit, lidah, tangan dan kaki akan menjadi saksi terhadap segala yang dilakukan sewaktu di dunia. Antaranya, firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) hari dihimpunkan musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit-kulit badan mereka menjawab: ‘Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata, dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).'” (Fussilat: 19-21)
Firman Allah SWT lagi: “Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu, Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya.” (an-Nur: 24-25)
Allah SWT juga berfirman: “Pada waktu itu, Kami meteraikan mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Yasin: 65)
Pada hari tersebut, kesemua makhluk akan diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT, termasuklah haiwan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Semua hak pasti akan dikembalikan kepada pemiliknya pada hari kiamat kelak, sehinggakan kambing yang tidak bertanduk juga akan menuntut balasan daripada kambing yang bertanduk (kerana membunuhnya).” (Riwayat Muslim dan at-Tirmizi) Dalam lafaz lain, Rasulullah SAW bersabda: “Semua makhluk akan diqisas (dihukum balas) antara satu sama lain, sehinggakan bagi binatang yang tidak bertanduk daripada binatang yang bertanduk, malah sehinggakan bagi seekor semut kecil daripada seekor semut kecil lain (yang membunuhnya).” (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)
Abu Hurairah RA juga meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sesuatu pasti akan menuntut haknya (keadilan) pada hari kiamat kelak, sehinggakan dua ekor kambing sekalipun mengenai apa sebab kedua-duanya saling menanduk.” (Riwayat Ahmad dengan sanad hasan)
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor
© New Straits Times Press (M) Bhd




