Permaisuri Suthida raih emas pelayaran Sukan Sea

Permaisuri Suthida raih emas pelayaran Sukan Sea

Bangkok: Bangkok: Permaisuri Thailand, Suthida, mencipta detik istimewa apabila memenangi pingat emas acara pelayaran pada Sukan Sea yang berlangsung di negaranya, hari ini.

Permaisuri Suthida, isteri kepada Raja Maha Vajiralongkorn, beraksi dalam kategori keelboat campuran SSL47 menggunakan bot layar sepanjang 47 kaki (14 meter) bersama sembilan krew lain.

Berusia 47 tahun, baginda memainkan peranan sebagai taktisyen dan pengemudi untuk memimpin pasukan Thailand meraih kemenangan di perairan Pattaya, mengatasi Malaysia dan Myanmar.

Raja Vajiralongkorn, 73, menyampaikan sendiri pingat emas, perak dan gangsa kepada pemenang pada majlis penyampaian pingat malam ini, termasuk kepada Permaisuri Suthida yang dikahwininya pada 2019.

Terdahulu, pasukan baginda yang mengenakan pakaian pelayaran serba hitam meraikan kejayaan di atas bot dengan sorakan kegembiraan sambil seorang krew mengibarkan bendera Thailand.

Permaisuri Suthida adalah graduan komunikasi dan pernah bekerja sebagai pramugari Thai Airways sebelum menceburi kerjaya ketenteraan.

Sebagai seorang atlet yang aktif, baginda turut beraksi dalam perlumbaan separuh maraton di Bangkok bulan ini, mencatat masa 2 jam 13 minit 40 saat bersama legenda larian Kenya, Eliud Kipchoge.

Baginda juga mengetuai kontinjen Thailand pada upacara pembukaan Sukan Sea di Bangkok pada 9 Disember lalu.

Permaisuri Suthida bukan ahli keluarga diraja pertama meraih emas dalam acara pelayaran.

Raja Bhumibol Adulyadej, ayah kepada Raja Vajiralongkorn, pernah memenangi emas pada edisi keempat temasya itu di Thailand pada 1967.

Bertanding dalam kelas OK menggunakan bot binaan sendiri, Raja Bhumibol meraih emas bersama puteri sulungnya, Puteri Ubolratana Rajakanya, menurut laman rasmi Sukan Sea.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top