hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Peluang kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dilihat sebagai ‘kecil’ kerana pengkhususan yang spesifik dan teknikal.
Bagaimanapun, permintaan terhadap graduan TVET sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara jika berada dalam suasana ekonomi yang membangun dan rancak.
Ketua Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal Fakulti Pengajian Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts Dr Mohd Hazwan Mohd Puad berkata, bidang TVET dengan bukan teknikal adalah sama penting dan kritikal kepada pembangunan negara.
Menurutnya, ini kerana perbandingan dan penarafan bidang TVET atau bidang luar TVET ditafsir daripada pelbagai sudut seperti peluang kerjaya, persepsi sosial dan gaji yang ditawarkan.
“Berbanding bidang TVET, kerjaya luar bidang TVET lebih umum dan luas kerana lebih bersifat sokongan dan sosial serta kemanusiaan.
“Pengetahuan dan kemahiran luar bidang TVET boleh digunakan dalam hampir semua sektor kerana melibatkan elemen sosial dan kemanusiaan.
“Dari satu sisi, bidang TVET dipandang kurang berprestij berbanding bidang luar TVET. Bidang TVET sering dinormalisasikan sebagai pekerjaan kolar biru yang memerlukan aspek teknikal, pembaikan, kerja tangan dan pembinaan. Ia dilihat sebagai kurang berprestij dan sebagai pilihan kedua,” katanya.
Katanya, bidang luar TVET sering disinonimkan dengan pekerjaan kolar putih yang membabitkan kerja pentadbiran, pengurusan dan pembuat dasar dari lensa persepsi sosial.
“Kerjaya bidang TVET menawarkan julat gaji pelbagai dan fleksibel. Jika pekerjaan sangat kritikal dan spesifik maka gaji yang diterima amat kompetitif dan lumayan.
“Pada masa sama, kerjaya luar bidang TVET boleh dikatakan hampir stabil dan selaras mengikut pengalaman dan kekananan seseorang itu,” katanya.
Katanya, secara umumnya, pilihan pengajian bidang TVET pembinaan masih pada tahap sederhana dan terhad mengikut lokasi serta kesediaan penawaran perkhidmatan pengajian atau latihan.
“Penambahbaikan seperti polisi mesra rakyat tempatan, jaminan permintaan kerja yang tinggi serta penstrukturan tangga gaji TVET pembinaan yang lebih menarik akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan industri pembinaan kepada warga kerja asing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




