Permohonan Shafee padam penyataan saksi ditolak

Permohonan Shafee padam penyataan saksi ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk memadam sebahagian kandungan pernyataan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan kes pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian atas alasan 33 perenggan yang dimohon agar dipadamkan adalah relevan dalam membuktikan pertuduhan-pertuduhan terhadap Muhammad Shafee.

“Pada pandangan saya, 33 perenggan tersebut dalam pernyataan bertulis SP7 (saksi pendakwaan ketujuh) adalah relevan untuk membuktikan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat terhadap tertuduh.

“Sama ada keterangan SP7 tersebut boleh membuktikan atau tidak membuktikan elemen-elemen kesalahan dalam pertuduhan ktiga dan keempat adalah isu yang lain. Mahkamah akan menilai keterangan SP7 dan memutuskan sama ada keterangan SP7 wajar diterima atau tidak, sama ada keterangan adalah hearsay (dengar cakap) atau atas apa-apa alasan,”katanya.

SP7 merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah (Eksekutif Hasil Kanan I, Bahagian Perancangan Cukai Agresif, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Pada 26 Oktober 2021, pihak pembelaan memohon memadam 33 perenggan daripada keseluruhan 51 perenggan yang terkandung dalam pernyataan bertulis saksi tersebut.

Muhammad Shafee yang juga peguam bela utama bagi kes-kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Ahli Parlimen Pekan yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa atas melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul yang bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Perbicaraan hari ini bersambung dengan sesi soal balas ke atas SP7 tersebut. UTUSAN