Permohonan sijil halal banyak kerenah birokrasi

Permohonan sijil halal banyak kerenah birokrasi

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya proses pensijilan halal Malaysia ditambah baik selain mengurangkan kerenah birokrasi bagi kemudahan pihak industri.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, JAKIM di bawah penyelarasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) bersama-sama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa komited melaksanakan perkara itu.

Menurutnya, JAKIM bersedia meneliti kaedah terbaik serta bersesuaian bagi memastikan proses pensijilan halal Malaysia menjadi lebih efektif.

Katanya, langkah itu bertujuan memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa tanpa mengabaikan aspek pematuhan hukum dan standard yang ditetapkan.

Khamis lalu media melaporkan mesyuarat Majlis Halal Malaysia bersetuju bahawa satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Ahmad Zahid berkata, pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

Katanya, pengeluaran sijil halal hendaklah dilakukan dengan mempercepatkan prosesnya, tetapi mematuhi syarat-syarat ditentukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd