PEMBUKAAN pasar raya besar borong, Checkers Hypermarket di Saujana Impian di sini membolehkan komuniti setempat termasuk peniaga kecil di daerah ini dan sekitarnya menikmati pelbagai produk berkualiti pada harga berpatutan.
Pengarah Checkers Hypermarket, Teh Wah Keong berkata, pembukaan pasar raya itu membolehkan peniaga kecil mendapatkan bekalan pada harga berpatutan.
“Kami membina perniagaan ini berdasarkan format pasar borong yang unik dengan memberi fokus membantu perniagaan kecil dan usahawan tempatan.
“Komitmen kami adalah untuk memberikan nilai hebat yang bermakna bagi semua orang untuk berbelanja dengan bijak dan jimat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan Checkers Hypermarket di Saujana Impian, di sini, semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib.
Teh berkata, selaras dengan pemilikan pasar raya itu yang 100 peratus dimiliki individu tempatan, pihaknya juga menggunakan pendekatan menyokong produk tempatan.
“Disebabkan itu, kami mendapatkan hasil sayuran secara terus daripada petani di Cameron Highlands, Pahang; Mantin, Negeri Sembilan dan Broga, Selangor.
“Bagi hasil laut pula, kami memperolehnya secara terus daripada nelayan di Hutan Melintang, Perak serta Sungai Besar, Selangor,” katanya.
Menurutnya, cawangan keempat Checkers Hypermarket itu merangkumi kawasan seluas kira-kira 60,000 kaki persegi.
“Lokasi (Saujana Impian) dipilih untuk pembukaan cawangan keempat kerana kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran jalan utama.
“Ia sekali gus memudahkan perjalanan pelanggan dari Semenyih serta sekitar Kajang untuk datang ke pasar raya ini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mendapatkan tenaga kerja daripada komuniti setempat dengan 60 pekerjanya menetap di kawasan sekitar.
“Kami juga komited untuk mengamalkan gaya hijau dengan pemasangan solar yang dilaksanakan sejak 2023 bagi semua cawangan pasar raya kami.
“Bagi cawangan ini, kami berhasrat untuk membuat pemasangan solar menjelang hujung tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




