Pernah berdepan anxiety, kesihatan mental pemuzik sangat penting – Adrian

Pernah berdepan anxiety, kesihatan mental pemuzik sangat penting – Adrian

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Gitaris kumpulan Midnight Fusic, Adrian, berkongsi pernah berdepan masalah anxiety (kebimbangan melampau) sepanjang penglibatannya dalam industri seni.

Menurut Adrian Danial, 26, kesihatan mental adalah perkara penting perlu dijaga apabila bergelar pemuzik.

“Cabaran menjadi seorang pemuzik ini memang banyak melibatkan perkara berkaitan mental. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini pun, saya sendiri melalui banyak masalah ‘anxiety’ ketika membuat persembahan. “Walaupun sudah bertahun-tahun beraksi di atas pentas, ia adalah sesuatu yang saya rasa ramai pemuzik lain turut lalui,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bercerita lanjut, Adrian berkata keadaannya semakin baik sejak tahun lalu hasil sokongan ahli kumpulan serta amalan penjagaan kesihatan kendiri.

“Sejak tahun lepas, keadaan saya semakin baik kerana setiap kali sebelum persembahan, saya akan beritahu semua ahli kumpulan tentang apa yang saya rasa.

“Saya cerita kepada mereka dan mereka sangat ‘supportive’. Bagi saya, ia sangat penting untuk tidak memendam apa yang kita rasa.

“Selain itu, pada hari persembahan, sekurang-kurangnya satu jam sebelum persembahan, saya akan ambil masa untuk bersendirian. Itu cara saya mengatasinya. Kebiasaannya selepas lagu pertama dimainkan, semuanya kembali okay,” ujarnya.

Isu kesihatan mental itu timbul susulan keputusan pemain dram Midnight Fusic, Muaz, yang mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni buat masa ini.

Adrian mengesahkan perkara itu dan kumpulan yang sebelum ini dianggotai empat ahli kini meneruskan perjalanan muzik mereka secara bertiga bersama dua lagi anggota iaitu Arif dan Firdaus.

“Sekarang ini kami bergerak bertiga sahaja iaitu saya, Arif dan Firdaus. Muaz sedang berehat seketika kerana mahu menjaga kesihatan mentalnya.

“Saya tidak boleh menjawab bagi pihak dia sebab saya tidak tahu apa yang dia rasa. Jadi, kami mahu berikan dia ruang dan masa untuk fokus kepada diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Adrian turut menegaskan pintu sentiasa terbuka buat Muaz untuk kembali beraksi bersama mereka.

“Apabila dia sudah bersedia, kami berbesar hati untuk menyambut dia kembali. Kami mahu dia fokus pada diri dan kehidupannya dahulu. Kami sentiasa ada di sini.

“Sudah lebih sebulan Muaz berehat. Jadi untuk persembahan sebelum ini pun, kami memang beraksi tanpa dia dan ada menggunakan pemain dram jemputan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Midnight Fusic bakal beraksi dalam satu pentas bersama empat kumpulan indie popular lain iaitu Hujan, Empty Page, Dukes dan band terkenal Indonesia, NIDJI dalam Konsert Soundstage pada 16 Ogos ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top