Pernah disindir, Nur Amira bangkit bukti kemampuan sebagai pemain bola sepak wanita

Pernah disindir, Nur Amira bangkit bukti kemampuan sebagai pemain bola sepak wanita

redzuan.muharam@hmetro.com.com.my

Teluk Intan: “Kau perempuan, bola sepak untuk lelaki saja.” Itu sindiran pernah diterima Nur Amira Adila Hairulazuan, 19, ketika mula bermain bola sepak tiga tahun lalu.

Nur Amira Adila mengakui kata-kata itu pernah membuatkan dia patah semangat namun bapanya, Hairulazuan Mazlan, 41, yang banyak memberi galakan untuk bangkit dan meneruskan minatnya terhadap sukan nombor satu negara itu.

“Saya banyak dapat kata-kata sindiran itu rakan lelaki dan ada juga daripada individu terdekat. Memang sedih sampai tanya abah boleh ke saya pergi jauh dalam sukan bola sepak. Tapi abah bagi semangat untuk terus cuba dan berlatih.

“Alhamdulillah, usaha saya berhasil apabila tersenarai dalam kesebelasan utama untuk mewakili negeri pada tahun pertama bermain cuma rezeki sampai ke peringkat kumpulan saja waktu itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nur Amira Adila berkata, dia asalnya kaki bangku namun minat yang mendorongnya untuk belajar bermain bola sepak.

Penuntut Diploma Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia mendapat pendedahan awal bola sepak daripada bapanya yang menjadi jurulatih kelab bola sepak.

“Dulu selalu tengok abah melatih pemain bola sepak dan lama kelamaan timbul nak main sukan itu sedangkan tak pandai pun.

“Jadi saya minta abah tubuhkan kelab bola sepak perempuan untuk saya dan rakan bermain.

“Cabarannya sebab saya kaki bangku jadi susah nak kuasai teknik dan taktikal sampai teruk kena marah dengan abah waktu latihan, namun saya tak putus asa dan terus berlatih,” katanya.

Nur Amira Adila, berkata imejnya yang berhijab bukan halangan walaupun sukan itu menuntutnya beraksi lincah ketika di padang.

Baginya, apa yang penting adalah bijak membawa diri di dalam dan luar padang.

“Saya anak sulung daripada empat beradik, adik beradik kami ada dua lelaki dan dua perempuan.

“Saya dengan adik lelaki saja yang main bola sepak dan keluarga faham minat saya terutama abah.

“Cuma saya sudah besar jadi kena pandai jaga diri…saya pun sentiasa kata-kata abah yang pesan untuk jaga aurat walaupun main bola sepak dan ingat saya biar biar kasar di padang, tapi dekat luar tetap kena feminin,” katanya.

Nur Amira Adila berkata, selain bola sepak, dia turut aktif bermain futsal walaupun sudah menyambung pengajian di peringkat universiti.

“Sekarang cuti semester tapi waktu di kampus, saya akan berlatih setiap hari bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

“Sekarang saya dibantu dua jurulatih, seorang dari UPSI dan seorang lagi bantu persediaan mewakili Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kalau boleh nak terus bermain selagi larat kerana main bola sepak ini memang buat saya ketagih terutama selepas dapat jaringkan gol,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top