Perodua Bezza terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar treler

Perodua Bezza terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar treler

am@hmetro.com.my

Kulim: Dua mangsa yang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, di sini, hari ini masih dirawat di Zon Merah, Hospital Kulim, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kedua-dua mangsa berusia dua dan 14 tahun itu terselamat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah Kulim menghala ke Baling.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu oleh mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Ketil terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar treler yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu dan isterinya yang berusia 30 tahun serta ibu mentuanya berusia 59 tahun dan bayi mangsa berusia dua bulan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun itu dipercayai adik kepada isteri mangsa manakala kanak-kanak berusia dua tahun yang terselamat itu adalah anak kepada pasangan suami isteri itu.

“Pemandu treler berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, mayat empat mangsa dibawa ke Hospital Kulim dan akan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar malam ini untuk bedah siasat.

Beliau berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top