am@hmetro.com.my
Melaka: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung mana-mana perolehan yang dibekukan sekiranya situasi itu memberi kesan kepada kelangsungan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan sementara perolehan itu bertujuan memberi ruang kepada kerajaan menambah baik proses perolehan, termasuk aspek ketelusan dan tadbir urus, tanpa menafikan keperluan kritikal pasukan keselamatan.
“Kita faham mengapa pembekuan itu dibuat, supaya dapat diberi perhatian bagaimana kita hendak menambah baik proses-proses perolehan dan sebagainya.
“Namun, mana-mana perolehan yang dirasakan boleh menjejaskan operasi, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kementerian boleh mengemukakan perkara itu untuk dirunding supaya perolehan-perolehan berkenaan dapat dijalankan,” katanya.
Jelas beliau, sebarang perolehan yang membabitkan atau memberi kesan kepada operasi serta kesejahteraan anggota boleh dibincangkan agar tidak menjejaskan tugas-tugas utama, termasuk kesiapsiagaan dan operasi keselamatan negara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini, termasuk mengambil berat kebajikan anggota dan keluarga ATM.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menyaksikan penyerahan 3,270 unit komputer riba kepada 38 buah Sekolah Dalam Kem (SDK) sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau turut menyempurnakan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta yang sudah bermula pada 2024 dan dijangka siap pada Januari 2029 dengan kapasiti 150 katil.
Selain itu, beliau turut meninjau Projek Cendawan Pintar Program Ekonomi Madani Bakat yang merekodkan hasil pengeluaran melebihi 100 kilogram setakat Disember tahun lalu bagi menjana pendapatan.
Mohamed Khaled turut meluangkan masa melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Jalan Kenanga serta menyampaikan simbolik Peruntukan Senggaraan Kem Terendak Melaka 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga ATM dan keluarga mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




