'Persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir'

'Persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir'

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkesempatan meluangkan masa menekuni karya terbaharu James Marriott, ‘The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society’.

Naskah itu mengangkat persoalan utama yang mendesak mengenai kemerosotan budaya membaca dan menelaah, kedangkalan pemikiran serta masa depan peradaban dalam era dan arus digital masa kini.

Anwar turut mengimbau bagaimana pemergian pujangga besar Perancis, Victor Hugo pada 1885 menyaksikan sekitar dua juta manusia membanjiri Kota Paris untuk memberikan penghormatan terakhir.

“Begitu juga ketika pemergian Fyodor Dostoevsky (penulis novel dan penulis terkenal dari Russia) pada 1881, puluhan ribu rakyat mengiringi jenazahnya di Saint Petersburg.

“Saya pernah sebut mengenai komentar seorang novelis Itali (Gore Vidal) bahawa dia tidak pernah lihat lagi budaya di Amerika, apabila kehilangan seorang tokoh sasterawan, semua lapisan masyarakat daripada pemandu teksi kepada penjual bunga melahirkan rasa simpati. Itu maknanya tahap kecernaan mengenai sastera dan budaya.

“Ia secara tidak langsung membuktikan masyarakat ketika itu menyanjung tinggi kesusasteraan, budaya, tradisi ilmu dan pemikiran,’ katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar lagi, Hugo dan Dostoevsky bukanlah dalam kalangan raja mahupun panglima perang, sebaliknya adalah tokoh dan sarjana yang pemikirannya meresap jauh ke dalam jiwa serta sanubari masyarakat.

Selain itu, kata Anwar, Marriott juga mengingatkan beliau bahawa ancaman kepada peradaban bukan semata soal hilangnya akses kepada ilmu atau berlaku lambakan, tetapi juga lunturnya kecintaan dan kesabaran untuk membaca, merenung serta berfikir secara kritis dan mendalam.

Kata beliau, kita mungkin semakin kaya dengan maklumat namun miskin dan papa dalam kebijaksanaan.

“Justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top