Pertahankan kelestarian kepimpinan Melayu

bhnews@bh.com.my

ALOR GAJAH: Kelestarian kepimpinan Melayu harus dipertahankan melalui gabungan parti yang memperjuang dan mempertahankan kepentingan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof menegaskan, kelestarian itu tidak mampu dipertahankan hanya oleh satu parti, sebaliknya melalui kerjasama pelbagai parti yang memperjuangkan perkara yang sama.

“Dalam PRU-15 kelak, siapa yang hendak bentuk kerajaan kalau bukan gabungan parti Melayu dalam jajaran baru?

“Kepimpinan Melayu harus dipertahankan kerana takkanlah kita hendak tengok saja negara kita berkembang maju dan orang Melayu terus ketinggalan?” katanya selepas menyampaikan sumbangan alat persekolahan di Dewan Anggerik, Melekek hari ini.

Seramai 100 murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada program Ceria ke Sekolah. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, selepas PRU-14 rakyat melihat kemampuan kerajaan sedia ada menerajui pentadbiran negara dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa kemajuan untuk rakyat.

Katanya, tiada gunanya parti yang memperjuangkan dan memelihara kepentingan Melayu bertelagah sesama sendiri menjelang PRU-15 kerana ia hanya akan merugikan masyarakat Melayu.

Sehubungan itu, BERSATU akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) kerana yakin ia mampu memberi manfaat kepada rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan mesyuarat ketiga-tiga sayap parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, Redzuan berkata, pemimpin UMNO bebas menyatakan pendapat sejajar demokrasi dipraktikkan di negara ini.

Bagaimanapun, rakyat bijak membuat penilaian mengenai parti yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat dan bakal membuat pilihan dalam PRU-15 kelak.

Mohamad dilaporkan berkata, pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, tidak harus berbicara mengenai perpaduan ummah dengan UMNO kerana tidak mempunyai rekod menyatupadukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd