Arlington: Pertarungan Jake Paul dan Mike Tyson mencipta sejarah dengan jumlah kehadiran penonton yang memecahkan rekod di Stadium AT&T, Sabtu lalu.
Seramai 72,300 penonton hadir, sekali gus menyaksikan pendapatan keseluruhan bernilai AS$18,117,072 (RM80.9 juta), rekod baharu untuk acara tinju dan seni bela diri campuran di luar Las Vegas.
Di Netflix, pertarungan itu mencapai sehingga 65 juta tontonan serentak, menjadikannya acara sukan global paling banyak ditonton dalam sejarah penstriman.
Paul menewaskan Tyson, 58 tahun, menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan lapan pusingan.
Turut mencuri tumpuan pada Sabtu lalu adalah pertarungan antara dua petinju wanita, Katie Taylor dan Amanda Serrano yang diminenangi Katie buat kali kedua.
Pendapatan di Stadium AT&T mengatasi rekod sebelumnya membabitkan pertarungan Canelo Alvarez-Billy Joe Saunders pada 2021 yang dilaporkan mencecah A$9 juta (RM40.2 juta).
Meskipun menghadapi isu penstriman di Netflix, semua pihak yang terbabit dalam pertarungan itu tetap menikmati kejayaan besar, terutamanya daripada segi kewangan.
“Paul bertemu Tyson dan Katie bertemu Amanda mengubah sejarah dalam sukan tempur,” kata Nakisa Bidarian, pengasas bersama Most Valuable Promotions.
Pertarungan Paul-Tyson turut menjadi pertarungan tinju yang paling banyak menjadi pertaruhan dalam sejarah, dengan ramai yang menyokong Tyson berbanding Paul yang berusia 27 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




