Pertimbang wajib insurans pekerja asing, atasi bil tertunggak – Steven Sim

Pertimbang wajib insurans pekerja asing, atasi bil tertunggak – Steven Sim

KUALA LUMPUR – Dasar kerajaan mewajibkan majikan mendaftarkan pekerja asing yang diambil bekerja untuk perlindungan Skim Bencana Kerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak berubah.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tiada keperluan mewajibkan majikan membuat caruman tambahan termasuk insurans susulan tunggakan bayaran rawatan di klinik dan hospital kerajaan.

“Setakat ini di bawah Perkeso, memang pekerja asing wajib mencarum Perkeso, itu memang peringkat sedia ada.

“Mungkin kita akan lihat keadaan (wajib insurans), kalau ada keperluan, kita akan pertimbangkan pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 (COSH 2024) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-6 (SCICOSH) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sebelum ini, media melaporkan angka terbaru menunjukkan sehingga akhir 2023, jumlah tunggakan membabitkan bil rawatan warga asing mencecah kira-kira RM100 juta.

Ini termasuk kos bagi rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar serta pengambilan ubat, sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan. – MalaysiaGazette

 

Scroll to Top