Pertimbangan Lesen Pelanggaran baharu dihentikan serta-merta

PUTRAJAYA – Kerajaan menghentikan pertimbangan semua permohonan baharu Lesen Pelanggaran (Licence to Contravene) di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014), berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan penguatkuasaan penuh PUB 2014 dapat dilaksanakan mulai 1 Januari 2027.

“Saya telah mengarahkan agar tiada lagi permohonan Lesen Pelanggaran akan dipertimbangkan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan penguatkuasaan penuh PUB 2014 bermula 1 Januari 2027,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, PUB 2014 ialah peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang dikuatkuasakan sejak 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978.

Menurutnya, peraturan berkenaan menetapkan semua industri yang tertakluk supaya mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai batas dan standard teknikal yang ditetapkan.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini memberikan tempoh peralihan selama lima tahun sehingga 5 Jun 2019, diikuti beberapa siri pelanjutan tambahan bersyarat susulan permohonan daripada pelbagai sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan itu.

“Tempoh pelanjutan tambahan tersebut telah tamat sepenuhnya pada Ogos 2026,” ujar beliau.

Tegas Arthur, sehingga kini sebanyak 38 premis daripada sektor stesen jana kuasa elektrik, petrokimia dan kilang kelapa sawit masih belum mematuhi PUB 2014 serta telah dipertimbangkan untuk Lesen Pelanggaran.

Katanya, kelonggaran sementara itu dipertimbangkan berdasarkan penilaian ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pelan tindakan terperinci premis industri berkaitan ke arah pematuhan penuh PUB 2014.

“Selepas tempoh ini, JAS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan Fi Tambahan Lesen Pencemar Udara (FTLPU) terhadap premis industri yang masih gagal mencapai tahap pematuhan yang ditetapkan di bawah PUB 2014,” menurutnya.

Jelas beliau, Lesen Pelanggaran tidak boleh dijadikan sebagai kelonggaran berterusan oleh pihak industri.

Sehubungan itu, katanya, semua pengusaha industri digesa segera mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) masing-masing bagi mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

“Demi menjamin kualiti udara yang selamat untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.

Scroll to Top