Pertubuhan Cina kongsi 1.5 tan ikan meriahkan Ramadan

Pertubuhan Cina kongsi 1.5 tan ikan meriahkan Ramadan

MELAKA – Kemuliaan Ramadan turut diraikan masyarakat Cina di negeri ini apabila menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan khususnya umat Islam.

Itulah yang dibuktikan Pertubuhan Ikatan Cina Melaka (PICM) apabila menyumbang 1.5 tan pelbagai jenis ikan termasuk sotong sekaligus menyemarakkan lagi bulan puasa.

Ketua Penerangannya, H.M Goh berkata, usaha murni itu bermula sejak beberapa tahun lalu dengan menyasarkan penerima dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

H.M Goh

“Namun sempena Ramadan ini fokus kami lebih banyak di kawasan masyarakat Melayu, pusat tahfiz dan madrasah kerana mahu merebut pahala di bulan penuh keberkatan ini sekaligus menyebarkan semangat keharmonian rakyat Malaysia.

“Tambahan pula di Duyong ini, kami melihat wakil rakyatnya begitu aktif menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum membuatkan kami terpanggil berkongsi rezeki di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong,” katanya di sini.

Terdahulu, pertubuhan itu menyerahkan 1.5 tan pelbagai jenis ikan antaranya cencaru, kerisi, gelama, mata besar dan bawal selain sotong kepada ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar.

Mengulas lanjut, Goh berkata, setiap bulan persatuan itu mengagihkan tidak kurang daripada 1.5 tan ikan di kawasan memerlukan mengikut data kajian dilakukan.

Sebahagian daripada 1.5 tan ikan yang sedia diagihkan kepada masyarakat sekitar Duyong.

“Semua sumbangan ini adalah daripada peniaga dan orang persendirian yang sebenarnya tidak kaya tetapi mereka mahu memberi mengikut kemampuan melalui PICM.

“Tiada tarikh atau hari tertentu ditetapkan setiap bulan, tapi adalah sekitar dua hingga tiga kali agihan dibuat yang mana setiap agihan beratnya antara 500 kilogram (kg) hingga 1,500 kg,” katanya.

Sementara itu, Mohd Helmy berkata, sumbangan itu adalah kali kedua diterima daripada PICM dan akan memberi manfaat kepada 1,000 keluarga, madrasah dan pusat-pusat tahfiz di DUN Duyong.

“Saya berterima kasih kepada mereka dan mengalu-alukan lagi mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini mengikut cara dan kemampuan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette