Perubahan warna bulan cetus keterujaan pencerap

Perubahan warna bulan cetus keterujaan pencerap

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seawal jam 5.30 petang, kumpulan pencerap yang membawa peralatan seperti teleskop, binokular dan kamera sudah mula berkumpul di lobi Menara Alor Setar sebelum naik secara berperingkat ke lokasi cerapan.

Langkah berkenaan diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan dan memberi ruang kepada pemasangan peralatan sebelum fenomena gerhana bulan penuh dapat disaksikan.

Pengasas dan Pengurus Program Sahabat Langit Utara, Nurul Fatini Jaafar berkata, peserta yang membawa peralatan diberi keutamaan naik lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Seawal 5.30 petang, peserta yang membawa teleskop, binokular dan kamera berkumpul di lobi untuk lapor diri di kaunter sebelum naik lif secara berperingkat.

“Pencerap tanpa peralatan pula mula naik sekitar jam 6.30 petang. Perbezaan waktu ini dibuat bagi mengelakkan kesesakan dan memberi ruang pemasangan peralatan supaya semuanya bersedia sebelum gerhana jelas kelihatan,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, fenomena gerhana bulan sentiasa menarik perhatian kerana ia bukan kejadian yang berlaku setiap bulan.

“Untuk gerhana bulan berlaku, ia memerlukan ketepatan geometri yang sebaris antara tiga jasad iaitu matahari, bumi dan bulan.

“Bayang umbra Bumi mesti jatuh sepenuhnya ke atas Bulan untuk menghasilkan gerhana bulan penuh. Ia bukan sesuatu yang mudah berlaku kerana perlu kedudukan yang tepat,” katanya.

Katanya, perubahan warna bulan ketika gerhana turut mencetuskan rasa teruja dalam kalangan peserta.

“Ketika purnama, bulan kelihatan putih kekuningan. Namun apabila gerhana berlaku, ia perlahan-lahan tertutup dan berubah kemerah-merahan sebelum kembali kepada keadaan asal.

“Perubahan mendadak itu memberi rasa luar biasa kepada pencerap. Sebab itu ramai yang berebut mahu merasai sendiri pengalaman ini,” katanya.

Nurul Fatini berkata, program cerapan kali ini terbuka kepada peminat astronomi, falak dan orang awam yang ingin mendalami ilmu berkaitan fenomena alam.

“Kita bukan sekadar melihat gerhana, tetapi turut disertakan tazkirah dan taklimat ringkas mengenai fenomena ini. Malah peserta juga berpeluang menunaikan solat sunat gerhana secara berjemaah.

“Pendekatan ini memberi keseimbangan antara sains dan penghayatan spiritual,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menyaksikan sendiri fenomena jarang berlaku itu secara lebih dekat dan terancang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top