Peruntukan lebih bantu redakan isu masalah mental

Peruntukan lebih bantu redakan isu masalah mental

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes bunuh diri antara Januari hingga Mei lalu memberi petunjuk isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat memerlukan intervensi segera.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan perlu memberi tumpuan serius bukan sahaja kepada usaha menangani krisis kesihatan awam tetapi mencari pendekatan terbaik menyelesaikan krisis kesihatan mental yang semakin meruncing.

Ia termasuk memberi lebih banyak peruntukan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif melaksanakan pelbagai program di peringkat komuniti

“Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam jangka masa lima bulan bagi tahun ini, sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Khamis lalu, PDRM menyatakan ia merekodkan 631 kes bunuh diri sepanjang tahun 2020 dan 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021.

Bagi tahun 2019, sebanyak 609 kes bunuh diri dicatatkan dan secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dari tahun 2019 hingga Mei 2021.

Lam Thye berkata, peruntukan sebanyak RM15 juta diumumkan kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada NGO dalam membantu kerajaan meredakan pelbagai isu sosial termasuk kesihatan mental adalah tidak mencukupi.

“Kerajaan perlu beri lebih banyak peruntukan kerana isu kesihatan mental ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur atau Selangor tetapi di seluruh negara.

“Kerajaan juga wajar mempertimbang menyediakan lebih banyak kaunselor yang ditempatkan di setiap daerah untuk membantu mereka yang memerlukan dan memperluaskan kempen “Let’s Talk Minda Sihat” anjuran Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau turut berkata, usaha bagi menangani isu kesihatan mental ini juga tidak sepatutnya bergantung kepada inisiatif kerajaan tetapi memerlukan kerjasama semua anggota masyarakat.

“Sangat penting untuk mana-mana NGO atau organisasi yang memperlihat keprihatinan terhadap isu ini supaya memberikan latihan kepada sukarelawan terutama berkaitan kemahiran kaunseling.

“Mereka yang dilatih ini boleh berperanan sebagai ‘first aider’ yang terus tampil memberi bantuan sebelum (tindakan) pihak berkuasa ,” katanya.

Katanya, untuk perkara ini digerakkan secara menyeluruh, ia memerlukan peruntukan dari kerajaan kerana NGO tidak mempunyai dana untuk melaksanakan inisiatif sedemikian.

Jelasnya, kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental perlu dititikberatkan bagi mengelakkan lebih ramai memilih jalan sedemikian keranatidak dapat mengawal tekanan dan mengalami kemurungan melampau kesan daripada krisis pandemik COVID yang belum berpenghujung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top