Pesara rugi lebih RM129,000 diperdaya ‘phone scam’

Pesara rugi lebih RM129,000 diperdaya ‘phone scam’

KUALA LUMPUR – Seorang pesara kerajaan kerugian RM129,800 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, dalam kejadian semalam, mangsa seorang wanita berusia 61 telah menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai polis dari Bukit Aman.

Suspek telah memaklumkan mangsa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia dan mempunyai waran tangkap.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat tiga transaksi ke tiga akaun bank berbeza bagi tujuan siasatan.

“Setelah berbuat demikian mangsa telah curiga kerana suspek masih meminta membuat pemindahan wang lagi ke akaun berlainan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Othman memberitahu, kesemua wang yang dipindahkan ke akaun suspek merupakan sumber kewangan daruipada simpanan mangsa sendiri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ragu ketika menerima panggilan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkenaan.

Katanya, langkah itu adalah bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.. – MalaysiaGazette