Washington: Sebuah pesawat American Airlines terbakar selepas melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Colorado, semalam, berdasarkan imej dramatik yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), penerbangan itu terpaksa dihalakan ke Denver selepas mengalami masalah enjin.
“Seramai 172 penumpang dan enam anak kapal keluar dari pesawat dan sedang dibawa ke terminal,” kata American Airlines dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh penyiar tempatan KDVR.
Setakat ini, FAA, syarikat penerbangan dan pihak lapangan terbang belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.
Kejadian ini menambah kebimbangan terhadap isu keselamatan penerbangan di Amerika Syarikat selepas beberapa insiden sebelum ini, di tengah-tengah usaha pentadbiran Presiden Donald Trump mengurangkan kos dalam agensi penerbangan negara itu.
Pesawat terbabit difahamkan dalam perjalanan dari Colorado Springs ke Dallas-Fort Worth sebelum terpaksa mengubah haluan ke Denver.
Rakaman video yang tular menunjukkan asap tebal berkepul di sekitar pesawat di kawasan berhampiran terminal, manakala penumpang dilihat berdiri di atas sayap ketika pasukan kecemasan tiba di lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




