Pesawat Netanyahu guna laluan luar biasa untuk ke New York

Pesawat Netanyahu guna laluan luar biasa untuk ke New York

Baitulmaqdis: Pesawat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengambil laluan luar biasa ke New York, baru-baru ini, dengan mengelak beberapa negara Eropah dalam perjalanan ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Walaupun Perancis membenarkan penggunaan ruang udaranya, menurut sumber diplomatik Perancis yang bercakap kepada AFP, data penjejakan penerbangan menunjukkan pesawat Netanyahu sebaliknya mengambil laluan selatan.

Pesawat itu merentasi Greece dan Itali, kemudian melencong ke selatan melalui Selat Gibraltar sebelum menuju menyeberangi Atlantik.

United Kingdom, Perancis dan Portugal adalah antara beberapa negara yang mengiktiraf negara Palestin minggu ini, satu langkah yang ditentang keras oleh Netanyahu. Ireland dan Sepanyol pula mengumumkan pengiktirafan mereka pada Mei lalu.

Sementara itu, media Israel melaporkan bahawa lencongan oleh pesawat Netanyahu bertujuan untuk mengelak negara-negara yang menjadi anggota Statut Rom yang boleh menguatkuasakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sekiranya berlaku pendaratan cemas.

ICC pada November lalu mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang yang dilakukan semasa serangan tentera Israel di Gaza.

Sepanyol minggu lalu mengumumkan ia akan menyokong siasatan ICC dan menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza sebagai sebahagian daripada desakan lebih meluas untuk menekan Israel menamatkan perang.

Netanyahu dijadualkan menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Beliau juga dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih, minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top