Tuchel pertahan taktikal selepas impian England berkecai

Tuchel pertahan taktikal selepas impian England berkecai

Atlanta: Pengurus England, Thomas Tuchel mempertahankan keputusan taktikalnya selepas impian Three Lions untuk mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966 berkecai susulan kekalahan dramatik 2-1 kepada Argentina pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

England berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah apabila Anthony Gordon meletakkan mereka di depan pada awal babak kedua di Stadium Mercedes-Benz.

Namun, selepas itu England diasak tanpa henti oleh juara bertahan sebelum Enzo Fernandez menyamakan kedudukan dan Lautaro Martinez meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

Tuchel mengakui pasukannya menjadi terlalu pasif sebaik sahaja memperoleh gol pendahuluan.

“Kami kecewa kerana sudah begitu hampir, tetapi kami menjadi terlalu pasif selepas menjaringkan gol dan memberi terlalu banyak peluang kepada lawan.

“Kami gagal menguasai semula penguasaan bola, kemudian membenarkan terlalu banyak hantaran lintang, peluang dan percubaan ke arah gol.

“Kami hampir berjaya tetapi gagal mengekalkan tahap permainan selepas mendahului,” katanya kepada BBC.

Jurulatih dari Jerman itu dijangka berdepan kritikan susulan beberapa pertukaran pemainnya, terutama keputusan mengeluarkan penjaring gol Anthony Gordon pada minit ke-72 untuk digantikan pertahanan Ezri Konsa.

“Saya juga membuat pertukaran berorientasikan serangan dalam perlawanan sebelum ini. Kali ini kami hanya cuba membantu pemain.

“Kami terus melepaskan peluang sebaik selepas itu dan memutuskan untuk menggunakan lima pertahanan kerana ruang yang ditinggalkan terlalu besar.

“Sejurus selepas kami menjaringkan gol, tanpa sebarang pertukaran pun, kami ditekan dengan hantaran lintang. Jadi kami cuba memperkukuhkan benteng.

“Sudah tentu tanggungjawab terletak pada jurulatih dan apabila keputusan tidak memihak kepada kami, mudah untuk mengatakan keputusan itu salah,” katanya.

Mengulas mengapa England tidak terus memburu gol kedua ketika mendahului, Tuchel berkata pasukannya gagal mendapatkan semula penguasaan bola.

“Sudah tentu kami mahu mencari gol kedua, tetapi ia tidak membantu jika kami tidak dapat menguasai bola.

“Saya tidak merasakan pertukaran berbentuk serangan akan membantu ketika itu.

“Kami gagal memenangi perebutan bola dan tidak dapat mengekalkan penguasaan. Saya rasa ia bukan masalah struktur kerana kami tidak mengubah banyak perkara, tetapi corak perlawanan berubah sepenuhnya,” katanya.

Tuchel juga mengakui beliau menjangkakan keputusan yang dibuat akan menjadi sasaran kritikan.

“Tiada masalah. Saya faham akan ada perdebatan mengenainya dan selepas perlawanan, pasti ada jutaan jurulatih yang merasakan mereka tahu keputusan yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top