Pesawat perang kedua jatuh dari kapal pengangkut AS

Pesawat perang kedua jatuh dari kapal pengangkut AS

Washington: Sebuah pesawat perang Amerika Syarikat (AS) jatuh ke dalam Laut Merah ketika cuba mendarat di kapal pengangkut pesawat Harry S Truman, kata seorang pegawai pertahanan pada Rabu.

Ia jet kedua yang jatuh ketika mahu mendarat di kapal berkenaan dalam tempoh lebih seminggu.

F/A-18F Super Hornet – yang menelan belanja kira-kira AS$67 juta – terjatuh dari kapal itu pada Selasa kerana kegagalan dalam prosedur untuk pesawat menangkap wayar dengan cangkuk untuk membantu ia berhenti selepas pendaratan.

“Penangkapan gagal, menyebabkan pesawat itu terbabas ke laut,” kata pegawai pertahanan itu.

“Kedua-dua juruterbang selamat keluar dan diselamatkan,” kata pegawai itu, sambil menambah bahawa mereka mengalami kecederaan ringan.

Ia adalah pesawat F/A-18 kedua yang beroperasi di luar kapal Harry S Truman yang hilang dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pada 28 April, jet F/A-18E yang serupa jatuh dari kapal pengangkut itu apabila anak kapal yang menundanya di hangar, hilang kawalan ke atas pesawat.

Seorang kelasi mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu, yang turut menyaksikan sebuah traktor tunda hilang di laut.

Akhir tahun lepas, sebuah lagi pesawat F/A-18 yang beroperasi di luar Truman, hilang selepas ia tersilap ditembak jatuh oleh kapal penjelajah peluru berpandu berpandu USS Gettysburg.

Kedua-dua juruterbang terselamat dari kejadian itu.

Februari lalu, kapal itu sendiri mengalami kerosakan apabila ia bertembung dengan kapal dagang di Laut Mediterranean berhampiran Pelabuhan Said Mesir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top