2 kapal AS terdampar di kawasan berbatu di Selat Hormuz – Media Iran

2 kapal AS terdampar di kawasan berbatu di Selat Hormuz – Media Iran
2 kapal AS terdampar di kawasan berbatu di Selat Hormuz – Media Iran

Dua kapal komersial Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terkandas di kawasan berbatu di perairan selatan Selat Hormuz.

ISTANBUL – Dua kapal komersial Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terkandas di kawasan berbatu di perairan selatan Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi separa rasmi Iran, Fars pada Selasa.

Menurut laporan itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) sebelum ini mendakwa dua kapal komersial berbendera AS telah melalui selat itu pada Isnin, namun dakwaan berkenaan dinafikan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

“Kini, sumber yang dimaklumkan berkata bahawa perairan berhampiran pantai Oman adalah berbatu, dan kapal itu tidak dapat keluar atau kembali dari kawasan tersebut,” menurut agensi itu.

Dari sudut geografi, bahagian selatan selat itu “tidak mempunyai kapasiti” untuk berfungsi sebagai laluan perkapalan, dan “pelayaran melalui perairan cetek serta berbatu di selatan itu amat berisiko tinggi,” tambahnya.

Tiada sebarang komen daripada pihak AS berhubung laporan itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai persetujuan berkekalan. Gencatan itu kemudian dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa tempoh akhir yang ditetapkan. – Bernama/Anadolu

Scroll to Top